KUCHING: Debak Track Day 2026 yang bakal berlangsung di Tapak Skim Pembesaran Kampung (SPK) Debak pada 15 November ini menjadi platform untuk anak muda luar bandar Sarawak mengembangkan bakat dan kemahiran dalam sukan permotoran.
Program anjuran Kelab Sukan Permotoran D1 (D1MC) di bawah naungan Persatuan Sukan Permotoran Sarawak (SMA) itu diadakan sempena Pesta Debak 2026.

Program itu memberi penekanan kepada pembangunan bakat, kemahiran tunggangan dan keselamatan.
Presiden D1MC, Azmin Ramlie berkata, penganjuran berkenaan bukan sekadar menghimpunkan peminat motosikal, sebaliknya bertujuan membentuk budaya sukan permotoran yang lebih berdisiplin, matang dan bertanggungjawab.

Menurutnya, program itu juga menjadi platform untuk golongan muda dari Debak, Spaoh, Pusa, Betong dan kawasan sekitar Saribas mendapatkan pendedahan tentang aktiviti permotoran dalam persekitaran terkawal.
“Debak Track Day bukan pertandingan untuk menentukan penunggang terpantas, sebaliknya medan pembelajaran yang membolehkan peserta meningkatkan kemahiran serta memahami kemampuan diri dan jentera masing-masing.

“Antara aspek yang diberikan penekanan termasuk teknik mengambil selekoh, membrek, kawalan pendikit, kedudukan badan, pemilihan laluan tunggangan serta keupayaan menyesuaikan diri dengan keadaan permukaan trek,” katanya kepada Suara Sarawak, hari ini.
Selain itu, katanya, peserta turut didedahkan kepada pemeriksaan keselamatan motosikal, penggunaan kelengkapan perlindungan diri dan kepentingan mematuhi arahan petugas keselamatan sepanjang sesi berlangsung.
Azmin menegaskan, minat terhadap kelajuan perlu disalurkan melalui aktiviti yang sesuai dan bukannya melakukan tunggangan berbahaya di jalan raya awam sehingga mengancam keselamatan pengguna lain.
“Kalau mahu uji kemampuan, turun ke litar. Jangan jadikan jalan raya tempat mempertaruhkan nyawa!” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau berharap inisiatif tersebut dapat membuka ruang kepada bakat muda luar bandar untuk mengenali peluang dalam industri sukan permotoran, termasuk bidang kejuruteraan, penyelenggaraan jentera, pengurusan acara dan keselamatan trek.
Program itu bermula pada jam 9 pagi dengan pendaftaran peserta, diikuti taklimat keselamatan pada jam 10 pagi sebelum sesi tunggangan pertama pada jam 10.30 pagi.
Beberapa sesi tunggangan dijadual berlangsung secara berperingkat sehingga jam 4.45 petang, sebelum acara penutupan ringkas pada jam 5 petang, tertakluk kepada perubahan bergantung pada keadaan dan keperluan keselamatan semasa.






