KUCHING: Surau Darul Ikhtiar di Kampung Rampangi Fasa 2 kini lebih baik dan selesa selepas dibaik pulih menerusi Program Kampung Angkat Madani Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata projek itu pada asalnya dijadualkan mengambil masa 18 minggu, namun berjaya disiapkan tiga minggu lebih awal.
“Alhamdulillah, Surau Darul Ikhtiar akan terus berfungsi sebagai rumah ibadah, dengan ruang tambahan untuk kegunaan aktiviti komuniti.

“Saya berharap Surau Darul Ikhtiar ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk Kampung Rampangi Fasa 2 dan komuniti setempat,” katanya ketika menyempurnakan penyerahan Kampung Angkat Madani KPWKM di Kampung Rampangi Fasa 2 di sini, hari ini.
Menurutnya, Program Kampung Angkat Madani KPWKM memberi fokus kepada usaha meningkatkan kemudahan infrastruktur yang memenuhi keperluan komuniti setempat.
Menjelaskan lanjut, Nancy berkata usaha itu bukan sahaja bertujuan menambah baik kemudahan fizikal, malah memperkukuh pembangunan sosial, meningkatkan kualiti hidup serta merancakkan penglibatan komuniti dalam aktiviti kemasyarakatan di Kampung Rampangi Fasa 2.

Beliau menyifatkan semangat kebersamaan serta penglibatan aktif semua pihak menyumbang kepada kelancaran pelaksanaan kerja membaik pulih Surau Darul Ikhtiar serta kerja berkaitan yang melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM499,377.
“Kecekapan ini diperkukuh melalui sinergi strategik bersama Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Sarawak menerusi Program Institut Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Skop kerja yang dilaksanakan oleh ABM Wilayah Sarawak adalah kerja-kerja membina lantai baharu dengan kos berjumlah RM90,000,” katanya.
Pada majlis itu, KPWKM membawa pelbagai pengisian interaktif daripada beberapa jabatan dan agensi, termasuk tiga sesi perkongsian ilmu yang disampaikan oleh Yayasan Kebajikan Negara, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara serta Perkhidmatan Talian KASIH 15999.
Turut diadakan demonstrasi Sedia Urus Risiko Isi Rumah (SURI) oleh Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya bagi meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi situasi kecemasan, terutama risiko kebakaran di kawasan kediaman.
Pelbagai reruai pameran dan perkhidmatan turut dibuka membabitkan lapan jabatan dan agensi kerajaan, antaranya Jualan Rahmah Bergerak, program saringan kanser serviks HPV DNA, pendaftaran ujian mamogram dan perkhidmatan kaunseling.
Selain itu, disediakan sokongan psikososial, khidmat nasihat berkaitan urusan kebajikan, Kempen Awak OK Tak!?, Sahabat KafeTeen, Kempen Sokongan Hentikan Keganasan Terhadap Wanita dan Talian KASIH 15999.
Turut diadakan khidmat nasihat berkaitan urusan pendaftaran kad pengenalan, sijil kelahiran, sijil pengangkatan, sijil kewarganegaraan dan sijil perkahwinan serta pendaftaran aplikasi MyDigital ID serta perkhidmatan gunting rambut secara percuma.






