KUCHING: Seramai 100 keluarga di Samariang Batu bakal mendapat manfaat menerusi pembinaan rumah mampu milik di bawah Skim Pembesaran Kampung (SPK), sekali gus membuka peluang kepada lebih ramai penduduk, khususnya golongan muda, memiliki kediaman sendiri.
Timbalan Menteri di Pejabat Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, projek berkenaan merupakan permintaan beliau bersama pemimpin masyarakat yang dikemukakan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurutnya, Abang Johari telah meluluskan projek itu dan dijangka mengunjungi Kampung Samariang Batu pada 3 Disember ini bagi merasmikan pelaksanaannya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Santai Bersama Wanita N.7 Samariang di Dewan Kasba, Kampung Samariang Batu, di sini, hari ini.
Hasidah yang juga penyandang kerusi DUN Samariang berkata, pembinaan 100 unit rumah itu akan dilaksanakan menerusi fasa pertama projek berkenaan.
Katanya, projek itu mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri dalam menyediakan kediaman mampu milik, khususnya kepada golongan muda.
Dalam pada itu, beliau berkata, Kampung Samariang Batu turut menerima pelbagai kemudahan pembangunan termasuk masjid, gerai, padang futsal, tadika dan klinik.
Pembangunan itu membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan penduduk setempat terus menikmati kemudahan serta infrastruktur yang lebih baik.





