ARTIKEL

Abang Johari diiringi tetamu kehormat menyempurnakan simbolik pelancaran IEM Sarawak Coffee Table Book sempena majlis Makan Malam Tahunan IEM Cawangan Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, malam tadi. | Foto: RAMIDI SUBARI

Jurutera Sarawak digesa tumpu tiga aspek penting

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Institusi Jurutera Malaysia (IEM) Cawangan Sarawak digesa memberi tumpuan kepada tiga aspek penting, iaitu mengekalkan standard profesionalisme, melahirkan generasi jurutera masa depan dan menyumbang secara aktif kepada pembangunan negeri.

Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ketiga-tiga keutamaan itu juga dapat memastikan profesion kejuruteraan terus memainkan peranan dalam mendukung aspirasi pembangunan Sarawak.

Menurutnya, standard profesionalisme yang tinggi perlu sentiasa dipelihara memandangkan setiap keputusan kejuruteraan memberi kesan langsung kepada keselamatan awam, ketahanan infrastruktur dan kehidupan masyarakat.

Abang Johari (empat kanan) merakam gambar kenangan bersama para tetamu kehormat sambil menunjukkan IEM Sarawak Coffee Table Book. | Foto: RAMIDI SUBARI

“Justeru, kecekapan teknikal, integriti dan tanggungjawab profesional mesti sentiasa menjadi asas utama profesion ini. Perkara ini penting termasuk dalam pelaksanaan projek seperti Transit Aliran Autonomi (ART) yang sedang kita bangunkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Makan Malam Tahunan IEM Cawangan Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, malam tadi.

Sehubungan itu, tambahnya, IEM juga perlu terus memainkan peranan dalam melahirkan generasi jurutera masa depan melalui kerjasama erat dengan universiti, sekolah dan industri.

Menurutnya, usaha itu juga perlu merangkumi penyediaan bimbingan, latihan teknikal serta pembangunan profesional bagi memastikan jurutera muda bersedia menghadapi teknologi baharu dan perubahan industri.

“Selain itu, saya juga menggalakkan IEM Cawangan Sarawak menghimpunkan kepakaran daripada pelbagai disiplin kejuruteraan bagi menangani cabaran dalam sektor tenaga, kejuruteraan digital, daya tahan iklim dan industri baharu.

“Institusi itu juga perlu mengemukakan cadangan praktikal berasaskan bukti serta memperkukuh jaringan profesional di peringkat antarabangsa,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada IEM atas inisiatif melibatkan bakal jurutera di universiti yang kini sedang dibimbing dan dipersiapkan untuk memasuki bidang profesional.

“Tahniah juga kepada IEM Cawangan Sarawak atas kejayaan menganjurkan Persatuan Institusi Kejuruteraan Asia dan Pasifik (FEIAP) di Kuching sebelum ini yang menarik kira-kira 800 delegasi daripada 25 negara.

“Penganjuran acara tersebut turut membuka ruang perbincangan dan kerjasama antara jurutera Sarawak dengan rakan sejawat daripada Brunei serta negara membangun lain,” jelasnya.

Dalam pada itu, Abang Johari memberitahu IEM Cawangan Sarawak berpotensi memainkan peranan lebih besar dalam membantu kerajaan menangani cabaran kejuruteraan kompleks, khususnya pembangunan infrastruktur.

Mengambil contoh pembinaan jalan raya di kawasan tanah gambut sebagai ruang kerjasama, beliau menyatakan Sarawak memerlukan penyelesaian kejuruteraan alternatif bagi mengatasi kesukaran membina dan menyelenggara jalan di atas tanah lembut.

Merujuk kepada projek jalan bertingkat yang sedang dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) di Samarahan, beliau menjelaskan bahawa meskipun kos pembinaan awalnya lebih tinggi, projek itu menawarkan nilai jangka panjang yang lebih baik menerusi pengurangan kos penyelenggaraan.

“Walaupun kos awalnya tinggi, apabila dibandingkan dari segi kos dan manfaat, kos jangka panjang adalah lebih rendah, terutama dari aspek penyelenggaraan,” jelasnya.

Beliau turut menyentuh pembinaan terowong di Lawas menerusi projek Jalan Penghubung Sabah-Sarawak yang bakal memperkenalkan teknologi pembinaan terowong buat pertama kali di Sarawak, sekali gus menuntut jurutera tempatan memperkukuh kepakaran dalam mengendalikan projek infrastruktur kompleks.

“Oleh itu, kita IEM Cawangan Sarawak terus menawarkan kepakaran profesional dan menjadi rujukan kerajaan serta industri dalam mendapatkan nasihat, idea inovatif dan penyelesaian praktikal,” tegasnya.

Pada majlis itu, beliau turut menyaksikan pelancaran IEM Sarawak Coffee Table Book – Connecting Our Past, Present and Future serta pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara institusi kejuruteraan dengan universiti tempatan.

BERITA LAIN

Belia Satok digalak rebut peluang keusahawanan

KUCHING: Golongan belia di kawasan Satok digalakkan merebut peluang dalam bidang keusahawanan yang menawarkan pelbagai ruang untuk mereka membina perniagaan dan menjana pendapatan sendiri. Timbalan

BERITA TERBARU