ARTIKEL

Belia Satok digalak rebut peluang keusahawanan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Golongan belia di kawasan Satok digalakkan merebut peluang dalam bidang keusahawanan yang menawarkan pelbagai ruang untuk mereka membina perniagaan dan menjana pendapatan sendiri.

Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy dan PETROS), Datuk Ibrahim Baki, berkata kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan dan bantuan pembiayaan kepada golongan belia yang berminat menceburi bidang keusahawanan.

Beliau berkata, pelbagai inisiatif disediakan melalui kementerian dan agensi berkaitan, termasuk bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Sektor ini mempunyai potensi besar dan menyumbang nilai perniagaan yang tinggi kepada ekonomi negeri.

“Selain itu, terdapat juga pelbagai program dan kursus keusahawanan yang dianjurkan agensi kerajaan, termasuk kementerian berkaitan pelancongan dan keusahawanan di peringkat Persekutuan,” katanya pada sesi dialog sempena Majlis Apresiasi Belia Satok 2026 di Dewan Anak Seni Kampung Bandarsah, di sini, malam tadi.

Ibrahim yang juga penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok berkata, kerajaan turut menyediakan peruntukan serta peluang latihan bagi menggalakkan golongan belia memulakan perniagaan sendiri.

Bagi DUN Satok, beliau berkata, beliau dan jawatankuasa cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Satok mengambil inisiatif menubuhkan Hab Inovasi Satok sebagai kemudahan khusus untuk membantu golongan belia memulakan perniagaan, selain turut boleh dimanfaatkan seluruh masyarakat di kawasan berkenaan.

Hab tersebut dilengkapi pelbagai kemudahan bagi menyokong aktiviti perniagaan, termasuk komputer, komputer riba dan capaian internet, selain menyediakan ruang pejabat atau kotak pejabat yang boleh digunakan usahawan muda.

Setiap ruang turut diberikan alamat perniagaan tersendiri di bawah Hab Inovasi Satok bagi memudahkan urusan pendaftaran syarikat dan perniagaan.

“Kita juga akan membantu mereka memahami proses menubuhkan syarikat, termasuk urusan pendaftaran dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) serta keperluan mendapatkan pendaftaran atau pengiktirafan daripada agensi berkaitan seperti CIDB dan agensi lain mengikut bidang perniagaan masing-masing.

“Dengan adanya alamat pejabat yang sah, usahawan muda akan lebih mudah berurusan dengan pihak bank, agensi kerajaan dan pelanggan,” katanya.

Beliau berkata, kemudahan itu turut menyediakan bilik mesyuarat, ruang untuk mesyuarat dalam talian serta kelengkapan seperti televisyen bersaiz besar bagi pembentangan.

Kemudahan berkenaan juga boleh digunakan untuk menganjurkan seminar, kursus, taklimat dan sesi perbincangan, dengan ruang tersebut mampu menampung kira-kira 80 hingga 100 peserta pada satu masa.

Selain itu, beliau berkata kemudahan berkaitan teknologi maklumat dan reka bentuk turut disediakan bagi membantu usahawan menghasilkan produk serta bahan perniagaan yang lebih berkualiti.

Ibrahim berkata, pihaknya juga akan menjemput agensi berkaitan untuk memberikan penerangan dan bimbingan kepada golongan belia yang berminat menceburi bidang perniagaan.

Antara agensi yang akan dilibatkan termasuk TEKUN Nasional, Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), agensi berkaitan perusahaan kecil dan sederhana serta institusi kewangan seperti Affin Bank.

Sesi taklimat dan penerangan akan diadakan bagi memastikan golongan belia mengetahui bantuan, kemudahan pembiayaan serta program yang boleh dimanfaatkan untuk memulakan perniagaan.

Beliau berharap lebih ramai golongan muda tampil memanfaatkan kemudahan yang disediakan, selain menggalakkan mereka melihat sendiri kemudahan berkenaan bagi memahami peluang yang ditawarkan.

BERITA LAIN

100 unit rumah SPK dibina di Samariang Batu

KUCHING: Seramai 100 keluarga di Samariang Batu bakal mendapat manfaat menerusi pembinaan rumah mampu milik di bawah Skim Pembesaran Kampung (SPK), sekali gus membuka peluang

BERITA TERBARU

Politik bukan untuk individu bergerak bersendirian

KUCHING: Golongan belia yang berminat menceburi bidang politik perlu mempunyai semangat berpasukan, sikap rendah diri serta kesediaan berkhidmat kepada masyarakat, bukan bergerak mengikut kepentingan sendiri.

Cangkir Retak penampilan sulung Yusuf Sufali

Yusuf Sufali ialah nama yang agak baharu dalam arena penulisan puisi (sajak dan puisi tradi-sional dan eksperimental) di Sarawak. Namun nama beliau naik dengan agak