KUCHING: Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Dr Abdul Rahman Ismail menegaskan kesediaan menerima dan menyokong sesiapa sahaja calon yang diputuskan oleh Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13.
Beliau yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kota berkata, jentera pilihan raya di peringkat cawangan sudah diaktifkan bagi menghadapi pilihan raya berkenaan yang semakin hampir.
Tambahnya, pihak parti kini menunggu pengumuman Premier selaku Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) berhubung senarai calon yang akan mewakili gabungan itu pada PRU Sarawak Ke-13 ini, selepas empat calon diumumkan setakat ini.
“Cuma kita tengah menunggu pengumuman daripada Yang Amat Berhormat Premier siapakah calon-calon yang akan dicalonkan.
“Yang pastinya ada empat kawasan empat calon yang sudah diumumkan semalam, (calon) yang lain itu (masih) berdebar-debar. Tetapi kita akan terima keputusan Premier dan kami sebagai ahli parti memang akan menyokonglah siapa sahaja yang dicalonkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Konvokesyen Pertanian Kali Ke-21 dan Sambutan Empat Dekad Institut Pertanian Sarawak di Hotel Imperial, di sini, hari ini.
Mengulas tempoh berkempen selama 14 hari yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Dr Abdul Rahman menjelaskan, tempoh berkenaan merupakan sesuatu yang baharu berbanding kebiasaan 12 hari pada pilihan raya negeri sebelum ini.
Kata Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah itu, SPR menetapkan 28 November sebagai hari penamaan calon, manakala 12 Disember sebagai hari pengundian, dengan tempoh berkempen bermula selepas pengisytiharan calon.
“Yang lain kita akan terima penilaian Premier dan kami sebagai ahli parti memang akan menyokong siapa sahaja yang dicalonkan,” tambahnya.
Justeru, Dr Abdul Rahman berkata, beliau yakin kepimpinan Premier akan terus menjadi antara perkara yang dinilai rakyat berdasarkan pelaksanaan pembangunan, khususnya penyediaan kemudahan asas dan pembangunan infrastruktur di kawasan luar bandar.
Katanya, Belanjawan Sarawak 2027 yang memperuntukkan sebahagian besar perbelanjaan pembangunan kepada projek infrastruktur turut memperlihatkan tumpuan kerajaan dengan keperluan rakyat termasuk pembinaan jambatan, jalan raya dan kemudahan bekalan air.
“Premier sangat rajin bekerja, pandai mencari duit dan mengembalikan duit yang dicari kepada rakyat. Beliau bukan sekadar bercakap, tetapi melaksanakan apa-apa yang dijanjikan,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan, jentera parti di peringkat akar umbi perlu terus memperkukuh persiapan masing-masing sementara menunggu pengumuman rasmi calon bagi semua kawasan yang akan ditandingi GPS.





