KUCHING: Seorang remaja lelaki diperintahkan bon berkelakuan baik selama setahun oleh Mahkamah Majistret hari ini, kerana memiliki 158 imej pornografi animasi Jepun dan 3,259 video pornografi dewasa dalam telefon pintar miliknya.
Majistret Ling Hui Chuan memerintahkan demikian selepas pendengaran laporan sosial remaja berusia 19 tahun itu dari Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Terdahulu, dia mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara hingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika disabit bersalah.
Dia memiliki bahan pornografi itu di sebuah rumah di sebuah kampung di Padawan, sekitar 4.55 petang, 14 September lalu.
Mahkamah memerintahkan tertuduh bon berkelakuan baik selama setahun dengan jaminan RM1,000 dengan ibu sebagai penjamin berdasarkan Seksyen 293(1)(b) Kanun Tatacara Jenayah.
Berdasarkan Seksyen 294(a) Kanun Tatacara Jenayah, tertuduh diperintahkan melaporkan diri di balai polis berdekatan dua bulan sekali.
Menurut fakta kes, bertindak atas maklumat, pengadu merupakan pegawai polis mengetuai pasukannya pergi ke rumah tertuduh untuk pemeriksaan.
Hasil pemeriksaan, mendapati telefon pintar milik tertuduh yang diserahkannya sendiri kepada pihak polis mengandungi bahan pornografi dewasa.
Telefon pintar tertuduh terus dirampas dijadikan barang kes.
Hasil siasatan mendapati telefon pintar terbabit menyimpan 158 imej pornografi animasi dan 3,259 video pornografi dewasa.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Aqila Morsalin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.






