LAHAD DATU: Pasukan Petra Jaya Reds (PJ Reds) muncul juara Kejohanan Bola Sepak 11 Sebelah sempena Festival LFC SeBorneo Edisi Ke-10 2026 yang berlangsung di Lahad Datu, Sabah hujung minggu lalu.
Wakil dari Sarawak itu walau bagaimanapun terpaksa bekerja keras sebelum menumpaskan tuan rumah, Lahad Datu Kopites 3-1 menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat 1-1 untuk masa penuh aksi final yang sengit.
Sekali gus, kejayaan itu melangkaui sasaran awal untuk layak ke peringkat separuh akhir.
“Cukup gembira dengan kejayaan yang diperoleh para pemain pada saingan kali ini.
“Ini hadiah yang amat bermakna bagi semua pemain dalam keadaan langsung tidak menjangka boleh bergelar juara mengambil kira kejohanan kali ini menghimpunkan wakil pasukan handalan yang turut serta,” ujar Pengurus PJ Reds, Rosmaini Jamain kepada Arena Suara Sarawak.
Beliau turut memuji dan mengucap terima kasih kepada semua pemain ekoran kejayaan itu.
Katanya, semangat juang yang tinggi dan kerja keras semua pemain sepanjang saingan menyumbang kepada kejayaan bermakna buat PJ Reds kali ini.
Dalam pada itu, kegembiraan PJ Reds berganda apabila beberapa pemainnya turut tersenarai sebagai penerima anugerah individu yang disediakan.
Antaranya, Mohd. Hanif Mohtram (Penjaga Gol Terbaik), Muhammaf Ariff Luqman (Penjaring Terbanyak) dan Muhammad Aliff Iqhil (Pemain Muda Terbaik).
PJ Reds tampil dengan reputasi hebat kali ini apabila berjaya mengungguli Kumpulan B, selain mudah melepasi peringkat suku akhir dan separuh akhir.
Kejohanan dua hari pada 7 dan 8 November itu turut disertai pasukan Kelab Penyokong Liverpool dari Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan dan negara jiran, Brunei Darussalam.
Kejohanan itu begitu dinantikan barisan pemain terlibat kerana ia disifatkan sebagai permulaan kepada persaingan yang penuh bersemangat, kompetitif dan menjunjung tinggi nilai kesukanan.
Penganjuran kejohanan kali ini mencerminkan komitmen dalam membina jaringan persahabatan, memupuk semangat kesukanan serta memperkukuh hubungan antara komuniti penyokong Liverpool FC dari Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan Labuan dan Brunei Darussalam.
Untuk rekod, Bandaraya Kuching menjadi tuan rumah Edisi Ke-11 tahun depan.






