ARTIKEL

Aidil serah isu Nazmi kepada FAM, MFL

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Setiap pemain Kuching City FC perlu menjaga nama baik dan imej Sarawak dengan mempamerkan disiplin serta profesionalisme tinggi, termasuk menghormati pihak lawan tanpa mengira keputusan perlawanan.

Ketua Jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak, menegaskan perkara itu ketika mengulas insiden membabitkan Nazmi Faiz Mansor dan Ketua Jurulatih Selangor FC, Kim Pan Gon, pada aksi separuh akhir kedua Piala FA 2026/2027, malam tadi.

“Saya mahu memastikan pemain sentiasa berdisiplin kerana mereka membawa lambang Kuching dan Sarawak.

“Masyarakat Sarawak terkenal dengan sikap baik dan nilai itu perlu ditunjukkan melalui profesionalisme serta rasa hormat terhadap pihak lawan,” katanya pada sidang media selepas perlawanan di Stadium Taha Ariffin.

Menurut Aidil, sikap saling menghormati amat penting dalam bola sepak profesional, terutama ketika pemain dan pegawai berdepan situasi tegang.

“Kita perlu menghormati orang lain terlebih dahulu jika mahu dihormati.

Jika rasa hormat tidak ditunjukkan, perkara seperti ini boleh berlaku,” jelasnya.

Mengulas desakan Kim supaya Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menyiasat Nazmi yang didakwanya bertindak agresif selepas jaringan kedua Kuching City, Aidil menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa bola sepak negara.

“Bagaimana pula dengan reaksinya sepanjang perlawanan? Berapa kali beliau menerima kad kuning dan kad merah dalam perlawanan sebelum ini? Itu sendiri sudah menggambarkan sesuatu.

“Rakaman video ada, jadi biarlah Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) atau MFL menjalankan tugas mereka. Kita perlu menghormati proses itu,” tegasnya.

Kim sebelum itu mendakwa Nazmi menghampiri kawasan bangku simpanan Selangor sehingga menyebabkan pemain dan pegawainya bertindak menghalang pemain berkenaan, sekali gus mencetuskan kekecohan pada penghujung masa tambahan.

Dalam pada itu, Aidil berseloroh menyifatkan perlawanan itu seperti drama Korea susulan pelbagai insiden yang berlaku.

“Barangkali kita baru sahaja menonton drama Korea malam ini,” katanya sambil ketawa.

Bagaimanapun, beliau menegaskan jaringan kemenangan Kuching City terhasil daripada usaha pemain yang terus memberikan tekanan sehingga tamat 120 minit permainan.

“Jika tiada hantaran lintang dan bola tidak dihantar ke dalam kotak penalti, jaringan itu tidak akan berlaku. Semuanya hasil usaha pemain.

“Saya sentiasa mengingatkan mereka supaya memberikan kemampuan maksimum tanpa terlalu memikirkan keletihan,” ujarnya.

Pada aksi berkenaan, Kuching City menewaskan Selangor 2-0 hasil sepakan penalti Safawi Rasid pada minit ke-57 dan jaringan sendiri Mukhairi Ajmal Mahadi pada minit ke-118.

Kemenangan agregat 3-2 itu memastikan skuad The Cats melangkah ke final Piala FA buat pertama kali dalam sejarah kelab.

BERITA LAIN

Jurutera Sarawak digesa tumpu tiga aspek penting

KUCHING: Institusi Jurutera Malaysia (IEM) Cawangan Sarawak digesa memberi tumpuan kepada tiga aspek penting, iaitu mengekalkan standard profesionalisme, melahirkan generasi jurutera masa depan dan menyumbang

BERITA TERBARU