ARTIKEL

Muhammad Fahim (tengah) bersama rakan dan Nur Izmad Mohamad (kiri) pada program Komuniti AI di Dewan Kampung Semop. | Foto: PAIS

Murid lapan tahun Semop hasilkan video AI promosi cucur pisang ibu

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

DARO: Seorang murid Tahun Dua Sekolah Kebangsaan (SK) Semop di Pulau Bruit membuktikan usia bukan penghalang untuk menguasai teknologi apabila berjaya menghasilkan video promosi cucur pisang ibunya menggunakan kecerdasan buatan (AI).

Muhammad Fahim Abdul Rahim, 8, menghasilkan video berkonsepkan kandungan jana pengguna (UGC) yang kelihatan realistik sebagai usaha membantu memperkenalkan jualan makanan keluarganya kepada orang ramai.

Pro-Tem Setiausaha Pertubuhan AI Sarawak (PAIS), Nur Izmad Mohamad, berkata pencapaian itu memperlihatkan potensi besar kanak-kanak luar bandar apabila mereka diberikan pendedahan, bimbingan dan akses kepada teknologi digital pada peringkat awal.

“Penggunaan AI secara praktikal membolehkan kanak-kanak ini bukan sahaja memahami fungsi teknologi itu, malah meneroka cara mengaplikasikannya untuk tujuan pembelajaran, penghasilan kandungan dan aktiviti ekonomi.

“Perkara paling menarik ialah apabila ilmu yang dipelajari terus diterjemahkan kepada sesuatu yang dekat dengan kehidupan mereka, termasuk membantu keluarga mempromosikan perniagaan kecil,” katanya ketika dihubung hari ini.

Sebelum itu, Team Datuk Abdullah Saidol (DAS) bersama PAIS dengan kerjasama strategik Program Pembangunan Bola Sepak Bakat Elit (ETFDP) Sarawak, Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Semop, serta Persatuan Teknologi Maklumat PERTEKMA Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menganjurkan program Komuniti AI di Dewan Kampung Semop.

Program itu memberi penekanan kepada kesedaran harta intelek supaya peserta memahami kepentingan melindungi karya, identiti perniagaan dan hasil inovasi yang dihasilkan, selain memahami bahawa penggunaan AI tidak semestinya memberikan hak eksklusif secara automatik.

“Peserta juga didedahkan kepada asas keselamatan siber, termasuk mengenal pasti pautan mencurigakan, penyamaran identiti, tawaran palsu, penipuan kewangan serta risiko berkongsi maklumat peribadi tanpa membuat semakan terlebih dahulu,” katanya.

Nur Izmad berkata, pendedahan itu penting bagi memastikan masyarakat luar bandar bukan sahaja celik teknologi, tetapi mampu menggunakan AI secara selamat, beretika dan bertanggungjawab dalam kehidupan seharian serta aktiviti keusahawanan.

“Inisiatif ini turut menyokong aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak 2030 (PCDS 2030), khususnya dalam memperkasa modal insan, memperluas keterangkuman digital dan memastikan masyarakat luar bandar mendapat manfaat daripada perkembangan ekonomi berasaskan teknologi,” katanya.

BERITA LAIN

Kejuruteraan pemacu transformasi ekonomi Sarawak

KUCHING: Sarawak kini berada pada titik perubahan penting dalam usaha menjadi negeri maju dan berpendapatan tinggi, dengan bidang kejuruteraan, sains, teknologi dan inovasi menjadi antara

BERITA TERBARU

Aidil serah isu Nazmi kepada FAM, MFL

KUCHING: Setiap pemain Kuching City FC perlu menjaga nama baik dan imej Sarawak dengan mempamerkan disiplin serta profesionalisme tinggi, termasuk menghormati pihak lawan tanpa mengira