ARTIKEL

Kejuruteraan pemacu transformasi ekonomi Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak kini berada pada titik perubahan penting dalam usaha menjadi negeri maju dan berpendapatan tinggi, dengan bidang kejuruteraan, sains, teknologi dan inovasi menjadi antara pemacu utama transformasi ekonomi.

Pengerusi Institut Jurutera Malaysia (IEM) Cawangan Sarawak, Datuk Ir. Dr Angelia Liew San Chuin berkata, hala tuju pembangunan negeri di bawah kepimpinan Premier, Datuk Patinggi Tan Si Abang Johari Tun Openg yang meletakkan bidang tersebut sebagai teras ekonomi turut membuka peluang besar kepada profesion kejuruteraan.

Katanya, perkara itu selari dengan hala tuju Sarawak menerusi pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 2030 (PCDS 2030).

“Daripada sektor tenaga dan infrastruktur kepada industri termaju serta ekonomi digital, pelbagai peluang yang diwujudkan kini membuka ruang baharu kepada profesion kejuruteraan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Makan Malam Tahunan IEM Cawangan Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, malam tadi.

Tambahnya, sejarah pembangunan beberapa negara maju turut membuktikan kepentingan kejuruteraan dalam membentuk kemajuan ekonomi seperti pembangunan sistem lebuh raya di Amerika Syarikat, rangkaian kereta api berkelajuan tinggi di China serta transformasi perindustrian Singapura yang berjaya meletakkan negara itu sebagai antara hab industri utama.

Menurutnya, kejayaan berkenaan didorong oleh kepimpinan berpandangan jauh serta kesungguhan menerapkan sains, teknologi dan kepakaran kejuruteraan dalam perancangan pembangunan negara.

“Sejarah membuktikan bahawa kejuruteraan mampu mengubah nasib sesebuah negara.

Hari ini, kita dapat melihat elemen yang sama sedang dibentuk dalam perjalanan pembangunan Sarawak sendiri,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu bahawa hala tuju pembangunan Sarawak turut disokong usaha memperkukuh pembangunan bakat tempatan, termasuk menyediakan pendidikan tinggi percuma di universiti milik negeri kepada pelajar yang layak, khususnya dalam bidang keutamaan seperti sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Jelasnya, perkembangan sektor tenaga boleh diperbaharui, hidrogen, bahan api penerbangan mampan (SAF), semikonduktor dan pembuatan termaju turut membuka peluang baharu kepada jurutera untuk menyumbang kepakaran dalam membangunkan industri masa depan.

“Bagaimanapun, profesion kejuruteraan perlu terus berkembang untuk menangani cabaran semasa termasuk perubahan iklim, pengurangan pelepasan karbon, keselamatan bekalan air dan risiko banjir, selain menghasilkan penyelesaian infrastruktur serta sistem tenaga yang lebih pintar dan mampan.

“Justeru, saya berharap lebih ramai jurutera tempatan tampil memainkan peranan dalam merealisasikan aspirasi pembangunan negeri, sekali gus memastikan kepakaran kejuruteraan bukan sekadar menyokong perubahan, tetapi menjadi antara kekuatan utama yang membentuk masa depan Sarawak,” tegasnya.

Dalam perkembangan lain, beliau menyatakan bahawa IEM Cawangan Sarawak menganjurkan 47 program pembangunan profesional sepanjang 2025 yang memberi manfaat kepada lebih 2,500 peserta, selain menyediakan 350 jam Pembangunan Profesional Berterusan (CPD).

Katanya, usaha melahirkan generasi jurutera muda turut diperkukuh menerusi pertandingan kejuruteraan, kerjasama universiti dan program bimbingan, manakala kejayaan menganjurkan Persekutuan Institusi Kejuruteraan Asia dan Pasifik (FEIAP) 2026 di Kuching, yang menghimpunkan lebih 800 delegasi dari 25 negara, menjadi antara pencapaian terbesar organisasi itu.

“Melalui penganjuran tersebut, komuniti kejuruteraan Sarawak berjaya dibawa ke pentas antarabangsa, sekali gus membuka peluang lebih luas untuk perkongsian kepakaran dan kerjasama profesional,” katanya.

Beliau berharap pencapaian serta asas yang dibina sepanjang tempoh kepimpinannya dapat diteruskan demi memperkukuh profesion kejuruteraan dan melahirkan lebih ramai pakar tempatan.

BERITA LAIN

Jurutera Sarawak digesa tumpu tiga aspek penting

KUCHING: Institusi Jurutera Malaysia (IEM) Cawangan Sarawak digesa memberi tumpuan kepada tiga aspek penting, iaitu mengekalkan standard profesionalisme, melahirkan generasi jurutera masa depan dan menyumbang

BERITA TERBARU