KUCHING: Jurutera di Sarawak perlu melihat aspek pembangunan infrastruktur dalam jangka panjang dan memastikan setiap projek bukan sahaja memenuhi keperluan semasa, malah mampu bertahan terhadap kesan perubahan iklim pada masa hadapan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, penyelesaian kejuruteraan perlu mengambil kira perubahan keadaan alam sekitar, khususnya peningkatan risiko banjir, kemarau berpanjangan dan kenaikan suhu.
“Pada pandangan saya, jurutera perlu berfikir melangkaui aspek mereka bentuk dan membina infrastruktur.
Kita perlu mempertimbangkan bagaimana infrastruktur itu akan berfungsi dalam tempoh 20, 30 atau bahkan 50 tahun akan datang, dalam keadaan yang mungkin berbeza daripada hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Makan Malam Tahunan Institusi Jurutera Malaysia (IEM) Cawangan Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, malam tadi.
Tambahnya, perubahan iklim kini menjadi kebimbangan utama dunia, manakala perbincangan di peringkat antarabangsa menumpukan perhatian kepada risiko peningkatan suhu, kenaikan paras laut dan ancaman terhadap keselamatan makanan.
Katanya, Perjanjian Paris 2015 meningkatkan kesedaran dunia mengenai keperluan menangani perubahan iklim, termasuk sasaran mengehadkan pemanasan global kepada 1.5 darjah Celsius berbanding tahap praindustri.
Menurutnya, kenaikan paras laut berpotensi mengancam pulau-pulau kecil di Pasifik, manakala perubahan corak iklim boleh menjejaskan aktiviti pertanian sehingga menyebabkan kekurangan bekalan makanan. Kejadian cuaca ekstrem juga semakin ketara di seluruh dunia, termasuk banjir besar, kemarau berpanjangan dan peningkatan suhu ketika musim panas.
“Sarawak tidak terkecuali daripada berhadapan dengan cabaran berkenaan, sekali gus menjadikan aspek perubahan iklim sebagai pertimbangan penting dalam dasar pembangunan negeri.
“Hujan yang terlalu lebat boleh menyebabkan banjir, manakala tempoh kering yang berpanjangan boleh menjejaskan bekalan air, pertanian dan juga penjanaan tenaga hidro.
Oleh itu, kita perlu bersedia menghadapi kedua-dua keadaan ekstrem, iaitu lebihan air dan kekurangan air,” ujarnya.
Beliau menegaskan, jurutera mempunyai tanggungjawab penting untuk membangunkan sistem perlindungan banjir yang lebih baik, menambah baik sistem perparitan dan pengurusan air serta mereka bentuk infrastruktur yang mampu menyesuaikan diri dengan perubahan iklim.
“Pada masa sama, usaha mengurangkan pelepasan karbon memerlukan penyelesaian kejuruteraan yang praktikal, termasuk penggunaan tenaga lebih hijau, bangunan cekap tenaga, sistem pengangkutan lebih baik dan teknologi perindustrian yang dipertingkatkan,” jelasnya.
Abang Johari memberitahu, aspirasi pembangunan Sarawak bukan hanya bergantung kepada teknologi dan infrastruktur, tetapi juga keupayaan modal insan tempatan.
Katanya, negeri ini boleh memperoleh teknologi canggih dan membina infrastruktur moden, namun tanpa kepakaran tempatan untuk membangunkan serta menguruskannya, Sarawak akan terus bergantung kepada kepakaran luar.
“Semua aspirasi ini bergantung kepada satu faktor penting.
Kita mungkin mempunyai teknologi dan segala peralatan, tetapi faktor paling penting ialah rakyat kita sendiri,” tegasnya lagi.




