KUCHING: Institut Pertanian Sarawak (IPS) merekodkan kadar kebolehpasaran graduan sebanyak 82 peratus, sekali gus mencerminkan keberkesanan institusi itu melahirkan tenaga kerja terlatih bagi memenuhi keperluan sektor pertanian negeri.
Pengarah Pertanian Sarawak Datuk Dominic Chunggatt berkata, daripada jumlah graduan yang direkodkan, seramai 20 orang berjaya memperoleh pekerjaan dalam bidang agro, manakala enam lagi bekerja dalam bidang bukan agro.
“Pencapaian ini membuktikan usaha memperkukuh mutu pendidikan dan latihan pertanian perlu diteruskan bagi memastikan graduan bukan sahaja memiliki kelayakan akademik, malah menguasai kemahiran yang diperlukan industri.
“Angka kebolehpasaran ini bukan sekadar statistik. Di sebaliknya terdapat graduan yang sedang membina kerjaya, keluarga yang menaruh harapan dan tenaga pengajar yang mencurahkan usaha,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Pertanian Kali Ke-21 IPS 2026 sempena sambutan empat dekad penubuhan institut itu di Hotel Imperial, di sini, hari ini.
Majlis itu menyaksikan seramai 90 graduan diraikan selepas berjaya menamatkan pengajian masing-masing dalam bidang pertanian.
Dalam pada itu, Dominic memberitahu, graduan yang masih belum memperoleh pekerjaan tidak seharusnya berputus asa, sebaliknya perlu terus meningkatkan kemahiran, meneroka peluang pekerjaan dan mempertimbangkan bidang keusahawanan agro sebagai laluan membina kerjaya.
“Saudara dan saudari boleh mempertimbangkan untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi bagi memperkukuh pengetahuan dan kelayakan, atau menceburi bidang keusahawanan, khususnya keusahawanan agro,” tambahnya.
Pada masa sama beliau menjelaskan IPS perlu terus memperkukuh kualiti pendidikan dan latihan bagi memastikan program yang ditawarkan kekal relevan dengan perkembangan teknologi serta keperluan industri pertanian.
Katanya, kejayaan institut memperoleh sijil Kod Amalan Akreditasi Program TVET (COPTPA) bagi program di bawah Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia (SPKM) serta mengekalkan status Akreditasi Penuh daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bagi program Sijil Pertanian merupakan pencapaian yang membanggakan.
Bagaimanapun, tegas beliau, pengiktirafan berkenaan bukanlah matlamat akhir, sebaliknya menuntut komitmen berterusan seluruh warga institut untuk mengekalkan standard pendidikan dan melaksanakan penambahbaikan dari semasa ke semasa.
Mengulas perjalanan empat dekad IPS sejak penubuhannya pada 1983, Dominic berkata, institut itu memainkan peranan penting menyediakan pendidikan dan latihan bagi melahirkan tenaga kerja terlatih dalam pelbagai bidang pertanian.
Menurutnya, perubahan teknologi dan keperluan industri sepanjang tempoh itu menuntut institut berkenaan terus menyesuaikan pendekatan latihan tanpa mengetepikan tanggungjawab asasnya dalam membangunkan modal insan sektor pertanian.






