ARTIKEL

MA63: Kerajaan Sarawak Tidak Akan Berundur Pertahankan Hak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Kerajaan Sarawak tidak akan berundur dalam memperjuangkan dan mempertahankan hak negeri ini seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), khususnya berkaitan kepentingan serta pengurusan sumber asli demi memastikan Sarawak mempunyai kuasa menentukan hala tuju pembangunannya sendiri.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perjuangan mempertahankan hak Sarawak perlu diteruskan berlandaskan fakta, peruntukan undang-undang dan semangat MA63, selain memerlukan sokongan serta perpaduan seluruh rakyat negeri ini.

Beliau berkata, keberanian kerajaan negeri dalam memperjuangkan hak berkenaan turut didorong kesepaduan rakyat Sarawak yang menjadi asas kekuatan dalam memastikan kepentingan negeri terus dipertahankan.

“Selagi saya memimpin, saya tidak akan berundur dalam memperjuangkan hak kita di bawah MA63.

“Saya berjuang berdasarkan fakta dan hak kita dalam MA63. Walaupun ada pihak yang mempunyai kekuatan kewangan, kita tetap berpegang kepada hak yang sepatutnya kita peroleh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Jambatan Batang Kemena, Sebauh di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, keupayaan Sarawak memperjuangkan kepentingannya sendiri turut bergantung kepada kemampuan negeri ini menjana sumber pendapatan tambahan bagi membiayai pelbagai agenda pembangunan tanpa terlalu bergantung kepada sumber kewangan luar.

Katanya, kerajaan negeri sentiasa mencari pendekatan untuk meningkatkan hasil pendapatan Sarawak supaya lebih banyak peruntukan dapat disalurkan kepada pembangunan infrastruktur, pendidikan, kesihatan dan kesejahteraan rakyat.

Menurutnya, usaha meningkatkan pendapatan negeri juga membolehkan kerajaan Sarawak melaksanakan pelbagai projek pembangunan berskala besar, termasuk pembinaan jambatan, rangkaian jalan raya serta kemudahan asas yang memberi manfaat kepada masyarakat bandar dan luar bandar.

Beliau berkata, pendirian mempertahankan hak negeri bukan semata-mata berkaitan kepentingan kerajaan, sebaliknya bertujuan memastikan rakyat Sarawak memperoleh manfaat sewajarnya daripada kekayaan dan sumber yang dimiliki.

Dalam pada itu, Abang Johari menegaskan kepentingan mengekalkan perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum dan agama bagi memastikan Sarawak terus berada dalam keadaan aman serta mempunyai kestabilan untuk melaksanakan perancangan pembangunan jangka panjang.

Katanya, rakyat Sarawak perlu mempunyai keyakinan kemampuan negeri sendiri dalam menentukan masa depan, termasuk memastikan dasar pembangunan yang dirancang dapat dilaksanakan secara konsisten.

“Kita mesti menjaga rumah kita sendiri. Kita yang perlu menentukan apa-apa yang terbaik untuk negeri kita kerana kita lebih memahami keperluan dan kepentingan rakyat Sarawak,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus memberi tumpuan kepada usaha membangunkan Sarawak sebagai sebuah wilayah maju, dengan memastikan hasil pembangunan dapat dinikmati secara menyeluruh oleh semua lapisan masyarakat.

Justeru, beliau berharap rakyat terus memberikan sokongan terhadap usaha pembangunan negeri serta mengekalkan perpaduan bagi memastikan hak dan kepentingan Sarawak dapat dipertahankan untuk generasi akan datang.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU