ARTIKEL

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyaksikan penyerahan kelulusan projek Bina Baharu Jalan dari Pandan ke Ulu Binyo, Sebauh oleh Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Bintulu Datuk Muhammad Yakup Kari kepada Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Seri Dr. Stephen Rundi Utom.

Pembangunan Pesat Bintulu Turut Beri Limpahan Ekonomi Kepada Sebauh Dan Tatau

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Pembangunan pesat Bintulu dijangka memberi limpahan ekonomi kepada kawasan sekitarnya, khususnya Sebauh dan Tatau, menerusi peningkatan kesalinghubungan infrastruktur, pembangunan perumahan serta pewujudan peluang pekerjaan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pertumbuhan ekonomi Bintulu sebagai hab perindustrian utama berpotensi merangsang pembangunan kawasan berdekatan, sekali gus membolehkan penduduk menikmati peluang pekerjaan dengan kemudahan memiliki kediaman pada harga lebih berpatutan.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyaksikan penyerahan kelulusan projek Naik Taraf Bekas Jalan Pembalakan di Muput

Beliau berkata, jaringan jalan raya dan jambatan yang lebih baik akan memudahkan pergerakan penduduk antara kawasan kediaman dengan tempat kerja, sekali gus membuka akses lebih luas kepada peluang pekerjaan yang ditawarkan syarikat-syarikat besar di Bintulu.

“Apabila Bintulu membangun, kawasan sekitarnya turut akan merasai kesannya. Limpahan pembangunan ini akan memberi manfaat kepada kawasan seperti Sebauh dan Tatau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Jambatan Batang Kemena di Sebauh, hari ini.

Menurutnya, kerajaan Sarawak turut meneliti potensi pembangunan kawasan perumahan, kemudahan tepian sungai serta kompleks kediaman di Sebauh bagi menyokong pertumbuhan pekan itu pada masa hadapan.

Katanya, pendekatan itu membolehkan penduduk bekerja di Bintulu dan menikmati pendapatan lebih tinggi daripada sektor perindustrian, namun memiliki rumah di Sebauh pada harga lebih mampu milik tanpa perlu tinggal terlalu jauh dari tempat kerja.

Mengulas pembangunan infrastruktur, Abang Johari berkata, kerajaan negeri sedang melaksanakan pembinaan dua jambatan merentasi Batang Lupar, termasuk sebuah jambatan yang antara terpanjang di Malaysia, selain pembangunan rangkaian jalan raya yang menghubungkan Simanggang ke Betong.

Beliau turut mengambil contoh pembinaan Jambatan Jepak yang meningkatkan kesalinghubungan di kawasan Bintulu, sekali gus memendekkan tempoh perjalanan ke Lapangan Terbang Bintulu kepada kira-kira 10 minit.

Katanya, penduduk Tatau juga bakal menikmati manfaat daripada jaringan perhubungan yang lebih baik apabila perjalanan ke Lapangan Terbang Bintulu dianggarkan mengambil masa kira-kira 20 minit.

Selain itu, hubungan jalan raya ke kawasan Kidurong dan Samalaju akan terus diperkukuh bagi meningkatkan aksesibiliti serta menyokong pergerakan tenaga kerja dan aktiviti ekonomi merentasi kawasan berkenaan.

Abang Johari berkata, kerajaan negeri akan terus merancang pembangunan infrastruktur secara menyeluruh dengan mengambil kira keperluan jangka panjang bagi memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati lebih ramai penduduk.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU