SEBAUH: Peningkatan permintaan metanol di pasaran antarabangsa susulan perkembangan geopolitik di Asia Barat membuka peluang kepada Sarawak untuk memperkukuh kedudukannya sebagai antara pengeluar penting produk petrokimia berasaskan gas asli.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perkembangan konflik di rantau berkenaan menyebabkan pembeli antarabangsa mula mencari sumber bekalan metanol alternatif, sekali gus memberi peluang kepada Sarawak memanfaatkan kapasiti pengeluaran sedia ada.

Beliau berkata, Sarawak mempunyai potensi besar untuk memenuhi permintaan pasaran itu menerusi operasi loji metanol milik Sarawak Petchem Sdn Bhd di Bintulu.
Sehubungan itu, katanya, beliau meminta supaya kadar pengeluaran metanol ditingkatkan daripada 75 kepada 90 peratus, berbanding kapasiti pengeluaran loji sebanyak 5,000 metrik tan sehari.
“Ketika berlaku konflik di Iran, pembeli mula mencari sumber metanol dan saya berjaya mendapatkan pasaran bagi produk kita kerana metanol penting dalam industri berkaitan gas.
“Saya meminta supaya pengeluaran metanol ditingkatkan daripada 75 kepada 90 peratus,” katanya ketika berucap merasmikan Jambatan Batang Kemena, Sebauh di sini pada Isnin.
Abang Johari berkata, pengukuhan industri metanol merupakan sebahagian daripada strategi Sarawak untuk memanfaatkan sumber gas asli negeri secara lebih menyeluruh, khususnya melalui penghasilan produk hiliran yang mempunyai nilai tambah lebih tinggi.
Menurutnya, Sarawak tidak seharusnya hanya bergantung kepada pengeluaran sumber asli, sebaliknya perlu mengembangkan industri pemprosesan bagi meningkatkan nilai ekonomi sumber berkenaan.
Katanya, perkembangan industri petrokimia turut membuka ruang kepada kemasukan pelaburan asing, pemindahan teknologi dan penciptaan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi untuk anak tempatan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Sarawak turut menarik minat pelabur antarabangsa menerusi cadangan pelaburan kira-kira US$1 bilion membabitkan Indorama Ventures Public Company Limited di Bintulu yang dijangka membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada tenaga kerja tempatan, selain memperkukuh industri hiliran minyak dan gas Sarawak.
Menurutnya, pelaburan itu membabitkan kerjasama tiga syarikat utama iaitu Indorama, HighChem Company Limited dan Sakura Ferroalloys dari Jepun, dengan Petchem turut dijangka bekerjasama dalam projek berkenaan.
Beliau berkata, projek itu akan memanfaatkan gas sebagai bahan suapan (feedstock) bagi menghasilkan pelbagai produk hiliran bernilai tambah tinggi, sekali gus memperluas rantaian industri petrokimia di negeri ini.
Menurutnya, produk yang bakal dihasilkan merangkumi bahan untuk pembuatan botol, pakaian dan gentian, selain bahan khusus yang digunakan dalam penghasilan sut angkasawan bagi misi penerokaan angkasa lepas.
“Pelaburan ini bukan sahaja membawa peluang ekonomi, malah turut mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan,” katanya.






