KUCHING: Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) pertanian perlu diperkukuh bagi melahirkan tenaga kerja mahir yang bukan sahaja menguasai kemahiran teknikal, malah mampu memenuhi keperluan industri serta memacu pembangunan sektor pertanian Sarawak.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (M-FICORD) Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata, latihan pertanian perlu melangkaui penguasaan kemahiran asas dengan memberi penekanan kepada keupayaan graduan berfikir, menyelesaikan masalah dan menambah baik proses kerja.
“Industri pertanian masa kini memerlukan tenaga kerja yang mampu mengurus perusahaan, menguasai teknologi, memahami kehendak pasaran serta menghasilkan nilai ekonomi daripada sumber pertanian.

“Kita bukan sahaja memerlukan tenaga kerja yang mampu melaksanakan aktiviti pertanian dengan baik, malah memerlukan generasi yang boleh mengurus perusahaan, menguasai teknologi, memahami pasaran dan menghasilkan nilai ekonomi daripada sumber pertanian yang dimiliki,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya dibacakan oleh Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail pada Majlis Konvokesyen Pertanian Kali Ke-21 dan Sambutan Empat Dekad Institut Pertanian Sarawak di Hotel Imperial, di sini, hari ini.
Katanya, terdapat tiga aspek utama yang perlu diberikan perhatian dalam memperkukuh TVET pertanian, termasuklah memastikan latihan berasaskan kompetensi dan keperluan sebenar pekerjaan.
Jelasnya, kemahiran yang diajar perlu selaras dengan amalan industri dan standard ditetapkan, selain memberikan peluang kepada pelajar melaksanakan tugasan sebenar, membuat keputusan serta menyelesaikan masalah melalui pengalaman amali.
Beliau turut menegaskan kepentingan memperkukuh hubungan antara institusi latihan dengan pihak industri, bukan sahaja melalui penempatan latihan industri, malah perkongsian kepakaran, pendedahan kepada teknologi dan pembangunan projek bersama.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, penggunaan teknologi seperti Internet Benda (IoT), sensor, automasi, pertanian tepat dan kecerdasan buatan (AI) turut mengubah landskap sektor pertanian dengan menawarkan peluang meningkatkan kecekapan pengeluaran.
Bagaimanapun, katanya, penggunaan teknologi perlu berdasarkan keperluan sebenar dan kemampuan pengusaha supaya pelaburan yang dibuat mampu memberikan pulangan serta menyelesaikan masalah operasi.
Sehubungan itu, beliau menegaskan Institut Pertanian Sarawak diharap terus memperkukuh latihan berasaskan amali dan pendedahan kepada teknologi bersesuaian bagi melahirkan graduan yang mampu membawa pembaharuan dalam industri berkenaan.
Beliau turut menggalakkan graduan meneroka bidang keusahawanan pertanian, termasuk membangunkan perusahaan sendiri, menyediakan perkhidmatan teknikal atau bekerjasama dengan pengusaha sedia ada, selain memilih laluan pekerjaan makan gaji.





