KUCHING: Seorang pemandu warga Indonesia yang mempunyai permit sah masuk ke Malaysia dijatuhkan hukuman denda RM6,000 atau penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen hari ini, kerana membawa penumpang warganegaranya tanpa memiliki dokumen perjalanan yang sah untuk berada di negara ini.
Adru, 41, dari Sulawesi Selatan, mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Shafiza Datuk Abdul Razak Tready.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa di bawah Seksyen 55E(1) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 55E(2) akta yang sama, kerana membenarkan seorang warganegara Indonesia yang merupakan Pendatang Tanpa Izin (PATI) berada dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda.
Dia melakukan kesalahan itu di Jalan Serian-Tebedu, Serian, sekitar jam 2.45 petang, 12 Oktober lepas.
Mahkamah memerintahkan tertuduh diusir pulang ke negaranya selepas membayar denda atau menjalani hukuman penjara.
Menurut fakta kes, pada hari kejadian, sepasukan anggota polis menahan dua buah kenderaan dan membuat tangkapan ke atas dua pemandu serta dua penumpang warga asing.
Berdasarkan maklumat dan siasatan lanjut, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengesahkan bahawa tertuduh mempunyai pergerakan keluar masuk Malaysia secara sah.
Tertuduh mengaku tidak melakukan kesalahan membawa penumpang warganegara Indonesia sebaliknya dia hanya pemandu ganti semasa hari kejadian untuk keluar dari Malaysia.
Namun, salah seorang penumpang kenderaan yang dipandunya tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah untuk berada di Sarawak, Malaysia.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Abdurrahman Abrar Jami, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.





