ARTIKEL

Eldison Noel menunjukkan piala yang diterimanya selepas dinobatkan sebagai penerima Anugerah Terbaik Kursus Teras dan Anugerah Terbaik Kursus Umum bagi Sesi 2024/2026.

Eldison Noel Pasang Impian Bina Perniagaan Bidang Hidroponik

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Bermula dengan minat tanaman dan pokok buah-buahan selepas bekerja sebaik tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Eldison Noel Jeffery kini membuktikan minat itu mampu membuahkan kejayaan apabila muncul antara graduan cemerlang Institut Pertanian Sarawak.

Anak kelahiran Kampung Sogo, Bau itu menerima Anugerah Terbaik Kursus Teras dan Anugerah Terbaik Kursus Umum bagi Sesi 2024/2026 dalam Program Sijil Pertanian, sekali gus mengiktiraf pencapaiannya sepanjang mengikuti pengajian di institut berkenaan.

Dr Abdul Rahman menyampaikan anugerah kepada Eldison Noel sambil disaksikan tetamu kehormat yang lain. | FOTO: RAMIDI SUBARI

“Selepas habis SPM, saya bekerja dahulu kerana ketika itu belum mempunyai minat. Namun, semasa bekerja, saya mula berminat dengan tanaman dan pokok buah-buahan. Sebab itulah saya memilih untuk belajar di sini,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak hari ini.

Berkongsi rahsia kejayaan akademiknya, beliau memberitahu, perkara paling penting ialah mengurus tekanan, terus memberikan tumpuan pelajaran serta sentiasa berdoa khususnya menjelang peperiksaan.

“Yang penting, jangan tertekan. Teruskan belajar dan jangan lupa berdoa sebelum menghadapi peperiksaan,” katanya.

Mengulas perancangan selepas tamat pengajian, Eldison berkata, beliau bercadang untuk bekerja terlebih dahulu bagi mengumpul modal sebelum merealisasikan impiannya membuka perniagaan sendiri dalam bidang hidroponik.

Dr Abdul Rahman ditemani tetamu kehormat lain merakam kenangan bersama-sama para graduan Institut Pertanian Sarawak.

Justeru, beliau berharap dapat mengusahakan tanaman sayur-sayuran secara hidroponik sekiranya mempunyai modal dan mendapat peluang untuk merealisasikan perancangan berkenaan.

Sementara itu, Jessica Biby Eddie menerima Anugerah Terbaik Pengkhususan Teknologi Pengeluaran Tanaman Makanan, manakala Eunicia Angel Melisun Ana meraih anugerah sama bagi Teknologi Memproses Hasil Pertanian.

Caserina Asam pula dinobatkan sebagai penerima Anugerah Terbaik Pengkhususan Pengurusan Estet, manakala Ashly Alyssa Esther Sudin menerima pengiktirafan bagi Pengurusan Ternakan.

Ashly Alyssa turut mencatat pencapaian membanggakan apabila menerima Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum bagi sesi yang sama.

Seramai 90 graduan diraikan pada Majlis Konvokesyen Pertanian Kali Ke-21 dan Sambutan Empat Dekad Institut Pertanian Sarawak yang berlangsung di Hotel Imperial, di sini, hari ini.

Para graduan gembira hari bahagia mereka dirai bersama-sama keluarga di Hotel Imperial Kuching.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU