ARTIKEL

Kiri depan, Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Dr. Azizul, Jalot, Datuk Snowdan dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Seni Sarawak dan Awang Ikman Awang Sepian (dua kanan).

MARAPATI: Gabungan Teater, Sinematik

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Gabungan lakonan secara langsung dan paparan sinematik menerusi konsep Hibrid Teater Sinematik menjadi keunikan utama Muzikal Teater Marapati yang bakal dipentaskan pada 4 Disember ini.

Pengarah dan penulis skripnya, Mohamad Ghazali Jeman atau lebih dikenali sebagai Jalot Jeman, berkata pendekatan itu menggabungkan persembahan teater konvensional dengan elemen rakaman visual bagi menghasilkan pengalaman berbeza kepada penonton.

Datuk Snowdan Lawan.

Menurutnya, konsep berkenaan membolehkan jalan cerita diteruskan menerusi paparan layar sinematik selepas sesuatu babak lakonan secara langsung selesai dipersembahkan di atas pentas.

“Konsep ini masih jarang dilaksanakan di Malaysia dan kami berani menerokainya dengan menggunakan kemampuan serta sumber yang ada.

“Kami mahu membuktikan bahawa penggiat seni Sarawak juga mampu menghasilkan produksi berkualiti tinggi yang mempunyai identiti tersendiri dan berpotensi diketengahkan ke peringkat antarabangsa,” katanya kepada Suara Sarawak.

Beliau berkata demikian pada sidang media Muzikal Teater Marapati yang turut dihadiri Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan di Star On Stage di sini, pada Selasa.

Marapati mengetengahkan kisah berteraskan legenda dan imaginasi sejarah yang dikaitkan dengan latar sekitar tahun 800 Masihi, sekali gus membawa penonton menyelami penceritaan warisan menerusi pendekatan seni persembahan moden.

Produksi berkenaan dibangunkan menerusi 12 babak dengan sembilan lagu yang dicipta khusus untuk pementasan, termasuk penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam proses penghasilan muzik.

Bagaimanapun, sentuhan manusia tetap menjadi keutamaan apabila tujuh lagu akan disampaikan sendiri oleh pelakon bagi memberikan pengalaman persembahan lebih hidup dan berkesan.

Barisan pelakon turut menggabungkan bakat baharu dan penggiat seni berpengalaman, termasuk Halim yang membawa watak utama ketika remaja, manakala watak dewasa dilakonkan Saiful.

Selain itu, beberapa watak lain seperti ibu, Raja Buaya, Datuk Penasuri dan dayang turut melengkapkan perjalanan cerita berkenaan.

Sementara itu, Datuk Snowdan berkata Marapati merupakan usaha kreatif yang wajar diberikan perhatian kerana mengangkat elemen legenda, warisan dan imaginasi sejarah melalui medium seni persembahan.

Menurutnya, karya seumpama itu membuktikan warisan tempatan mempunyai potensi besar untuk dikembangkan menerusi pelbagai medium kreatif, sekali gus menarik minat generasi muda terhadap seni dan budaya.

“Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) turut menyediakan Dana Mudahcara Warisan dan Kesenian Sarawak bagi membantu persatuan serta penggiat seni melaksanakan program berkaitan.

“Pembangunan industri kreatif memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, persatuan seni, institusi kebudayaan, sektor swasta dan komuniti penggiat seni,” ujarnya.

Beliau turut berharap produksi Marapati dapat membuka lebih banyak peluang kepada anak Sarawak untuk mengembangkan bakat dalam bidang teater, filem, muzik dan industri kreatif.

Muzikal Teater MARAPATI dijadualkan berlangsung pada 4 Disember ini, jam 8 malam di Dewan Masyarakat, dengan tempoh persembahan selama satu jam 45 minit tanpa henti.

Produksi itu merupakan kerjasama Persatuan Anak Seni Sarawak bersama Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak, Dewan Bahasa dan Pustaka serta Majlis Seni Sarawak dengan sokongan MTCP.

Turut hadir, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak,
Dr. Azizul Ismail dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Seni Sarawak, Awang Ikman Awang Sepian.

Foto berkumpulan selepas tamat sidang media.

BERITA LAIN

FINAS sasar kategori khas filem ASEAN dalam FFM

KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) berhasrat memperkenalkan kategori khas filem ASEAN dalam Festival Filem Malaysia (FFM) bagi memperluas pengiktirafan festival itu ke

BERITA TERBARU

PBDS Umum 26 Calon PRU Sarawak Ke-13

KUCHING: Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) mengumumkan 26 bakal calon bagi Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13, termasuk penyanyi Iban Stanley Phua dan calon muda