KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) berhasrat memperkenalkan kategori khas filem ASEAN dalam Festival Filem Malaysia (FFM) bagi memperluas pengiktirafan festival itu ke peringkat serantau.
Menurut Bernama Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, menjelaskan cadangan itu sedang dirundingkan dengan beberapa negara ASEAN termasuk Indonesia, Singapura dan Filipina.
Beliau berharap langkah tersebut menjadikan Malaysia antara peneraju yang menghubungkan industri perfileman rantau ini, selain membuka ruang kepada filem tempatan bersaing dan meraih pengiktirafan lebih luas.
Dalam pada itu, Khadam dinobatkan Filem Terbaik pada FFM ke-35 (FFM35) di Panggung Sari, Istana Budaya, dengan kutipan 10 trofi keseluruhannya.
Mengulas pengiktirafan kepada pelakon Indonesia, Aghniny Haque, Azmir menegaskan keputusan itu dibuat sepenuhnya oleh juri, manakala Shamyl Othman yang memenangi Pengarah Terbaik mengaku pihaknya hanya berusaha menghasilkan karya terbaik.


