KUALA LUMPUR: Penyanyi Pija Yasin mengambil pelbagai kerja halal demi menjamin kehidupan dan masa depan tiga anaknya sejak bergelar ibu tunggal lebih empat tahun lalu.
Penyanyi bernama sebenar Norafizah Mohd Yasin, 38, itu menjelaskan perpisahan selepas lapan tahun berumah tangga menjadikannya lebih cekal dan berani meneroka bidang baharu.

Menyedari tawaran menyanyi semakin berkurangan dan pendapatannya tidak tetap, juara Mentor musim pertama itu menguruskan acara, menjual mutiara serta berniaga pakaian setiap Ramadan.
Selain itu, beliau menerima tempahan masakan setiap Isnin, Rabu dan Jumaat, termasuk untuk tujuan infak, dengan menu seperti ayam kari, sambal, kicap, masak lemak dan sayur.
Selepas lama jarang muncul di media arus perdana, Pija menyifatkan program BANGKIT sebagai permulaan untuk kembali berkarya, sementara siaran langsung TikToknya sering mencecah lebih 400 penonton seperti dilapor Bernama.



