KUCHING: Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) mengumumkan 26 bakal calon bagi Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13, termasuk penyanyi Iban Stanley Phua dan calon muda Damien Epoi, selain mempertaruhkan golongan profesional pelbagai bidang.
Presidennya, Dr John Brian Anthony berkata, barisan calon berkenaan terdiri daripada individu berpengalaman dalam bidang perubatan, pendidikan, undang-undang, perniagaan, perladangan dan pengurusan kejururawatan yang diyakini mampu membawa aspirasi masyarakat.
“PBDS percaya wakil rakyat mesti memahami keperluan masyarakat, mempunyai keberanian untuk membawa pembaharuan bermakna,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan watikah calon dan pelancaran manifesto PBDS, di sini, hari ini.
Menurutnya, penyerahan watikah kepada semua bakal calon tersebut dilaksanakan serentak pelancaran manifesto PBDS yang menggariskan 10 agenda utama sekiranya parti itu diberikan mandat membentuk Kerajaan Sarawak.
Mengulas lanjut katanya, PBDS mempunyai kira-kira tiga calon berusia bawah 40 tahun, manakala sebahagian besar calon lain terdiri daripada individu lebih berusia yang mempunyai pengalaman dalam pelbagai sektor.
“Keadaan itu antara lain dipengaruhi kemampuan kewangan kerana PBDS membiayai sendiri penyertaan dan kempen pilihan raya tanpa menerima bantuan daripada pihak luar.
Sehubungan itu katanya, PBDS berharap penyertaannya dalam pilihan raya kali ini mampu menarik lebih ramai golongan muda, khususnya profesional Dayak untuk melibatkan diri secara aktif dalam politik.
Menurutnya, masih terdapat golongan muda yang mengambil pendekatan tunggu dan lihat sebelum membuat keputusan menyertai parti, namun PBDS mahu membuka ruang lebih luas kepada generasi baharu pada masa hadapan.
Antara calon yang mencuri perhatian ialah Stanley Phua yang akan bertanding di DUN Dudong, manakala Damien Epoi diketengahkan sebagai calon termuda parti itu bagi kerusi Mulu.
John Brian sendiri akan bertanding di DUN Kakus, sementara Dr Bego Sepop dicalonkan di Serembu dan Miri Janging atau Mary Jangin akan membawa cabaran PBDS di Telang Usan.
Bagi kawasan selatan Sarawak, PBDS mempertaruhkan Bayang Teron di Opar, Jani Unggu @ Daniel Jani (Tasik Biru), Sanjan Daik (Mambong), Lebanon Ero (Tarat), Kembi Rigong (Tebedu) dan Vincent Amis (Kedup).
Turut dicalonkan ialah Joannes Ruba di Bukit Semuja, Petrus Simon Awan @ Peterson (Balai Ringin), Jimmy Uding (Bukit Begunan), John Antau Linggang (Krian), Belitang Abeng (Kabong) dan Thomas Buan (Kalaka).
Bagi kawasan tengah Sarawak, Tedwin Beti akan bertanding di Ngemah, Satia Brian (Machan), Anthony Didy Entawamat (Tamin), Leighton Manjah (Baleh), Bernard Tahim Bael (Kemena) dan Baba Emperan (Samalaju).
Sementara itu, bagi kawasan utara, PBDS menamakan Sulang Limu di Lambir, Perri Lusorg (Batu Danau) dan Pita Asut @ Peter Asut (Ba’Kelalan), selain calon yang diumumkan bagi Telang Usan dan Mulu.
Sementara itu, manifesto PBDS menggariskan 10 komitmen utama termasuk cadangan mengehadkan tempoh jawatan Premier kepada dua penggal, memperkukuh pentadbiran tanah adat serta meningkatkan kemudahan asas masyarakat luar bandar.
Antara tawaran lain ialah cadangan memperuntukkan RM10 bilion dalam tempoh lima tahun bagi pembangunan luar bandar, mengurangkan tarif elektrik isi rumah luar bandar sebanyak 30 peratus dan menyediakan 20,000 peluang latihan industri serta penempatan pekerjaan berbayar setiap tahun.
PBDS turut menetapkan syarat perjanjian terhadap semua calonnya, termasuk bayaran RM20 juta sekiranya wakil rakyat yang menang kemudian keluar atau berpaling tadah daripada parti, tertakluk kepada terma perjanjian dan undang-undang berkaitan.

