KUCHING: Kedudukan Parti Demokratik Progresif (PDP) dalam pembahagian kerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) menjadi antara tumpuan menjelang pengumuman senarai calon gabungan itu bagi Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13, esok.
Pengerusi GPS yang juga Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, meminta semua pihak menunggu pengumuman calon esok ketika ditanya kemungkinan penggunaan calon langsung susulan dua pemimpin kanan PDP keluar parti.
“Tunggu esok hari,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran Persidangan dan Pameran Penilaian Impak Sosial dalam Ekonomi Sedang Membangun (SIAC 2026) di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada GPS akan mempertimbangkan semula penggunaan calon langsung seperti pernah dilaksanakan ketika bersama Barisan Nasional (BN), susulan perkembangan terbaharu dalam PDP.
Perkembangan itu menyusul selepas dua pemimpin kanan PDP, Datuk Seri Wong Soon Koh dan Dr Johnichal Rayong Ngipa, mengumumkan keluar parti serta melepaskan semua jawatan masing-masing berkuat kuasa 22 November lalu.
Wong, yang juga penyandang kerusi DUN Bawang Assan dan bekas Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB), berkata keputusan itu dibuat selepas mendapati hala tuju politik PDP ketika ini tidak lagi selari dengan matlamat dan persefahaman asal yang mendorongnya menyertai parti berkenaan.
Bagaimanapun, Presiden PDP, Datuk Seri Tiong King Sing, menolak dakwaan itu dengan menjelaskan penggabungan PSB-PDP pada 2024 tidak disertai sebarang terma atau syarat tambahan.
Rayong, yang juga penyandang kerusi DUN Engkilili, pula berkata keputusannya dibuat selepas meneliti prinsip politik dan aspirasi masa depannya serta mengambil kira pandangan penyokong dan pengundi di kawasan berkenaan.
Kedua-duanya bagaimanapun menegaskan peletakan jawatan daripada PDP tidak bermakna mereka meninggalkan GPS, sebaliknya kekal menyokong kepimpinan Abang Johari.
PDP sebelum ini menyatakan hasrat mempertahankan lapan kerusi DUN pada PRU Sarawak Ke-13. Lima daripadanya ialah Tasik Biru, Meluan, Krian, Marudi dan Dudong yang dimenangi parti itu pada PRN Sarawak Ke-12, manakala Bawang Assan, Engkilili dan Ba’Kelalan diperoleh susulan pembubaran PSB dan penyertaan ahlinya secara beramai-ramai ke dalam PDP pada 2024.
Isu pembahagian kerusi turut melibatkan pertindihan tuntutan antara PDP dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), khususnya bagi Bawang Assan dan Engkilili yang secara tradisinya diperuntukkan kepada SUPP.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai manifesto Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) yang dilancarkan, Abang Johari tidak memberikan ulasan lanjut.
“Mana-mana kata mereka (terserah PBDS),” ujarnya.
Beliau turut menafikan manifesto GPS akan diumumkan esok, sebaliknya berkata perkara itu akan dibincangkan kemudian.


