KUCHING: Sebanyak 600 tempat masih ditawarkan kepada graduan anak Sarawak untuk menyertai Program Peningkatan Graduan dan Kesediaan Kerja Sarawak (GETS-WRP) Kohort 6 yang menyediakan elaun RM1,500 sebulan serta latihan kerjaya selama 12 bulan.
Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Centre of Performance Excellence (SCOPE), Joseph Lim berkata, program inisiatif Kerajaan Sarawak itu menyasarkan penyertaan 1,000 graduan dengan 400 calon dikenal pasti bagi pengambilan yang bermula pada 14 Disember ini.

Menurutnya, program tersebut bertujuan meningkatkan kebolehpasaran graduan melalui latihan kemahiran insaniah selama tiga bulan sebelum menjalani penempatan industri selama sembilan bulan bagi mendapatkan pengalaman sebenar dalam alam pekerjaan.
“Matlamat utama program ini adalah untuk menjadikan graduan kita lebih bersedia memasuki alam pekerjaan, bukan sahaja melalui kelayakan akademik, tetapi juga dengan kemahiran komunikasi, keyakinan diri dan pengalaman sebenar dalam industri.
“Kita mahu graduan mengambil peluang ini sebagai landasan permulaan kerjaya masing-masing kerana pengalaman kerja pertama menjadi asas penting untuk mereka berkembang.
“Dalam masa yang sama, memperoleh peluang pekerjaan yang lebih baik pada masa hadapan,” katanya ketika ditemui pada Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Kuching di Metrocity, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut ujarnya, peserta GETS-WRP akan menerima elaun bulanan RM1,500 yang ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak sepanjang tempoh latihan selama setahun.
Katanya, program berkenaan turut menawarkan penempatan bersama lebih 200 syarikat rakan strategik SCOPE di seluruh Sarawak yang membuka peluang kepada graduan untuk memperoleh pengalaman dan meningkatkan kemahiran dalam pelbagai sektor industri.
Beliau menegaskan, pengalaman dan pendedahan awal dalam dunia pekerjaan amat penting untuk membina keyakinan diri, meningkatkan keupayaan profesional serta membuka laluan kepada perkembangan kerjaya yang lebih baik.
“Permohonan GETS-WRP dibuka sepanjang tahun dengan pengambilan peserta baharu dilaksanakan setiap bulan bagi memberikan peluang lebih luas kepada graduan yang memenuhi syarat kelayakan.
“Graduan yang tidak sempat menyertai pengambilan Disember masih boleh mengemukakan permohonan untuk dipertimbangkan pada pengambilan berikutnya.
“Antara syarat penyertaan ialah pemohon mestilah anak Sarawak berusia 30 tahun ke bawah, memiliki Ijazah Sarjana Muda daripada institusi pengajian tinggi awam atau swasta serta memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) minimum 2.8,” jelasnya.
Pemohon juga hendaklah belum pernah menyertai atau memohon program berkenaan serta perlu melepasi ujian aptitud yang ditetapkan sebelum diterima sebagai peserta.
Dalam pada itu, SKS 2026 Bahagian Kuching yang berlangsung selama dua hari turut menampilkan Pavilion Sarawakku Sayang sebagai pusat sehenti untuk masyarakat mendapatkan maklumat mengenai agenda pembangunan, dasar serta perkhidmatan Kerajaan Sarawak.
Perasmian pavilion berkenaan disempurnakan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.


