DEBAK: Kes jenayah siber di Sarawak terus membimbangkan apabila sebanyak 2,688 kes direkodkan dengan jumlah kerugian mencecah RM88.89 juta bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Dr Mohammad Razi Sitam berkata, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu menunjukkan jenayah siber bukan sahaja mengakibatkan kerugian kewangan, malah turut memberi kesan kesejahteraan emosi dan keharmonian keluarga mangsa.

“Statistik ini amat membimbangkan memandangkan jenayah siber bukan sahaja menyebabkan kerugian kewangan, malah turut mengakibatkan tekanan emosi, masalah hutang dan konflik kekeluargaan.
“Sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa tanpa mengira usia, pekerjaan atau latar belakang. Justeru, masyarakat perlu meningkatkan pengetahuan keselamatan digital, sentiasa berwaspada tawaran mencurigakan dan tidak mudah berkongsi maklumat peribadi dengan pihak yang tidak dikenali,” katanya.
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Saribas itu berkata demikian ketika merasmikan Program Kesedaran dan Pencegahan Penyalahgunaan Dadah, Substans dan Jenayah Siber 2026 di Dewan Millenia, di sini, hari ini.
Menurutnya, di Bahagian Betong pula, sebanyak 32 kes jenayah siber direkodkan di Daerah Betong dalam tempoh sama, membabitkan jumlah kerugian RM220,851.02.
Daripada jumlah itu, penipuan e-dagang mencatatkan kes tertinggi dengan 14 kes, diikuti penipuan pinjaman tidak wujud sebanyak 12 kes.
Sementara itu, statistik sehingga Oktober 2026 menunjukkan sebanyak 376 kes penyalahgunaan dadah dan substans direkodkan di Bahagian Betong.
Bagi peringkat Sarawak, Razi berkata, sebanyak 12,323 tangkapan berkaitan kesalahan dadah direkodkan bagi tempoh Januari hingga Oktober 2026.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 9,545 tangkapan melibatkan kategori penagih, 2,219 tangkapan bagi kesalahan memiliki dadah dan 559 tangkapan berkaitan bekalan dadah.
“Statistik ini menunjukkan bahawa usaha menangani penyalahgunaan dadah memerlukan pendekatan menyeluruh dan berterusan.
“Selain memperkukuh penguatkuasaan, perhatian juga perlu diberikan kepada pencegahan awal, pendidikan, rawatan, pemulihan dan sokongan komuniti,” ujarnya.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan kegiatan perjudian dalam talian yang semakin mudah diakses menerusi telefon pintar, selain promosi dengan tawaran ganjaran segera yang berpotensi mempengaruhi individu untuk terjebak tanpa menyedari risiko yang bakal ditanggung.
“Penglibatan dalam aktiviti ini boleh membawa kepada masalah hutang, ketagihan tingkah laku dan kehilangan sumber kewangan keluarga.
“Ibu bapa perlu sentiasa peka terhadap penggunaan teknologi digital oleh anak-anak, manakala masyarakat hendaklah menyalurkan maklumat mengenai sebarang kegiatan mencurigakan kepada pihak berkuasa melalui saluran yang betul,” katanya.
Dalam pada itu, Razi memuji inisiatif Jawatankuasa Sehenti (OSC) Menangani Isu Dadah dan Substans (MIDS) Daerah Betong, Pejabat Daerah Kecil Debak serta Majlis Pembangunan Sosial Sarawak (MPS) yang terus memberikan perhatian usaha memperkukuh kesejahteraan sosial masyarakat.
Katanya, pelaksanaan OSC MIDS di peringkat negeri dan daerah membolehkan kerjasama antara agensi penguatkuasaan, agensi pemulihan, institusi pendidikan, pemimpin komuniti serta pertubuhan masyarakat diperkasakan bagi menangani isu penyalahgunaan dadah dan substans secara lebih menyeluruh.

