ARTIKEL

Sidang Media..Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah merakam kenangan bersama-sama pengerusi penganjur dan atlet wakil Sarawak BOIDC.

Kuching himpun lebih 2,000 peserta dari 20 negara menerusi BOIDC 2026

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Konvensyen dan Kejuaraan Sukan Tarian Antarabangsa Terbuka Borneo (BOIDC) keempat 2026 dikenal pasti sebagai acara pertama Siri Ranking Kebangsaan dalam laluan Malaysia ke arah Sukan SEA 2027 bagi acara sukan tarian.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, perkara itu amat signifikan memandangkan Sarawak akan menjadi tuan rumah bagi acara tarian sukan semasa Sukan SEA Malaysia 2027.

Medal..Abdul Karim menunjukkan reka bentuk medal yang direbut para atlet dalam BOIDC.

“Siri Ranking Kebangsaan memberi peluang kepada atlet Malaysia untuk membuktikan keupayaan daya saing masing-masing dan meningkatkan peluang untuk dipertimbangkan bagi mewakili pasukan kebangsaan.

“Berdasarkan laluan yang diumumkan, pemilihan pasukan kebangsaan akan mengambil kira prestasi dan kedudukan atlet dalam Siri Ranking Kebangsaan, Siri Pemilihan Sukan SEA serta sistem ranking World DanceSport Federation (WDSF) yang berkaitan.

“Pemilihan akhir, sudah tentu, kekal tertakluk kepada kriteria rasmi dan keputusan pihak berkuasa sukan yang berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media sempena Konvensyen dan Kejuaraan Sukan Tarian Antarabangsa Terbuka Borneo keempat 2026 di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan menyatakan bahawa penganjuran acara pembukaan Siri Ranking Kebangsaan di Kuching merupakan peluang penting bagi Sarawak.

“Peluang ini menyediakan platform kepada atlet Malaysia, khususnya dari Sarawak, untuk memulakan perjalanan kompetitif mereka ke arah Sukan SEA di gelanggang sendiri,” katanya lagi.

Tegasnya, persiapan bagi temasya 2027, pihaknya perlu terus memperkukuh atlet, jurulatih, pegawai teknikal dan keseluruhan ekosistem sukan.

Dalam pada itu, Abdul Karim memberitahu bahawa BOIDC 2026 itu bakal berlangsung selama satu minggu iaitu bermula 2 hingga 8 Disember depan di Hotel Raia, menghimpunkan lebih 2,000 peserta dari 20 buah negara.

Antara negara yang terlibat ialah Azerbaijan, Kemboja, Republik Rakyat China, Sepanyol, Perancis, United Kingdom, Hong Kong, China, Indonesia, Itali, Republik Korea, Macau, China, Malaysia, Filipina, Poland, Persekutuan Rusia, Singapura, Chinese Taipei, Turkiye, Uzbekistan, dan Vietnam.

“Program ini merangkumi acara Solo Latin dan Standard bagi kategori Remaja dan Dewasa, serta pertandingan Couple Latin dan Standard Gred A.

“Kejohanan ini menampilkan pertandingan Terbuka World DanceSport Federation (WDSF), selain acara Ranking Kebangsaan Malaysia DanceSport Federation (MYDF),” katanya lagi.

Kejohanan terbabit dianjurkan oleh Kuching Performing Arts Association (KPAA), bakal melibatkan 33 orang hakim pertandingan.

Menariknya dalam kejohanan terbabit bakal menampilkan Winson Tam dan Anastasia Novikova pada 2 dan 3 Disember, yang merupakan juara Latin Piala Dunia WDSF sebanyak dua kali pada tahun 2024 dan 2026 serta juara Latin Kejohanan Asia WDSF 2026.

Penyertaan mereka bakal memberikan peluang yang amat berharga kepada atlet dan jurulatih tempatan untuk menimba ilmu secara langsung pesaing antarabangsa yang mencapai kejayaan cemerlang.

Turut hadir dalam sidang media tersebut ialah Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Morshidi Frederick dan Pengerusi Penganjur BOIDC 2026 Chan Tyng Tyng.

Reka bentuk medal BOIDC.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU