KUCHING: Datuk Hamzah Brahim wajar diberi mandat sekali lagi untuk terus mewakili kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Stakan pada Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak bagi memastikan kesinambungan pembangunan di kawasan tersebut.
Pengerusi Cawangan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Stakan, Datuk Dr Sim Kiang Chiok berkata, Hamzah menunjukkan komitmen, keprihatinan dan kesungguhan dalam menangani isu serta keperluan pembangunan penduduk sepanjang lima tahun lalu.
Beliau berkata, berdasarkan pengamatannya sepanjang bekerjasama dengan masyarakat setempat, Hamzah merupakan wakil rakyat yang mudah didekati, bertanggungjawab dan sentiasa bersedia mendengar permasalahan penduduk.
“Beliau bersedia mendengar masalah rakyat dan mengambil tindakan susulan dengan jabatan serta agensi kerajaan berkaitan bagi memastikan isu yang dibangkitkan mendapat perhatian,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, Stakan masih berdepan beberapa cabaran infrastruktur, khususnya berkaitan banjir, sistem perparitan, bekalan air dan kesesakan lalu lintas susulan perkembangan pesat kawasan perumahan serta komersial.
Bagaimanapun, beberapa kerja penambahbaikan sedang dilaksanakan bagi menangani isu berkenaan, termasuk program mitigasi banjir Samarindah, penaiktarafan sistem perparitan serta pembinaan dua tangki air bertingkat bagi meningkatkan bekalan dan tekanan air.
Beliau berkata, pelaksanaan projek berkenaan perlu terus dipantau bagi memastikan semuanya dapat disiapkan dengan baik, selain mengekalkan kesinambungan usaha pembangunan yang sedang dilaksanakan.
“Pada pandangan saya, penting untuk kita mengiktiraf usaha yang dilakukan dan memberi ruang kepada program yang sedang berjalan untuk disiapkan.
“Pembangunan memerlukan kesinambungan, komitmen dan kerjasama erat antara wakil rakyat, agensi kerajaan serta masyarakat setempat,” katanya.
Sim berkata, Stakan merupakan kawasan yang mempunyai masyarakat berbilang kaum dan berkembang pesat, merangkumi komuniti Cina, Bidayuh, Melayu serta kaum lain yang memerlukan wakil rakyat memahami keperluan setiap kelompok masyarakat.
Menurutnya, hubungan kerja Hamzah dengan kerajaan negeri dan Persekutuan, selain kesediaannya mendekati masyarakat serta mengambil tindakan susulan isu setempat, menjadi asas penting untuk meneruskan pembangunan kawasan itu.
Beliau berkata, Stakan memerlukan kesinambungan kepimpinan dan bukannya perubahan semata-mata, terutama bagi memastikan projek pembangunan sedia ada dapat diselesaikan.
“Stakan memerlukan seorang wakil rakyat yang memahami permasalahan kita, mengetahui perkara yang perlu dilakukan dan bersedia memastikan projek yang sedang berjalan disiapkan.
“Atas dasar itu, kita wajar menyokong Datuk Hamzah Brahim untuk diberikan satu lagi mandat bagi terus mewakili penduduk Stakan,” katanya.
Beliau berkata, matlamat utama semua pihak adalah untuk membangunkan Stakan menjadi kawasan yang lebih maju, baik dan selesa didiami oleh seluruh masyarakat.

