ARTIKEL

Zahid (kanan) menerima skrol ijazah sarjana yang disampaikan oleh Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sempena Majlis Konvokesyen Ke-28 TAHOTECH di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini. (F: RAMIDI SUBARI)

Kesibukan Bergelar Wartawan Tidak Halang Zahid Genggam Ijazah Sarjana


Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pengalaman membuat liputan majlis konvokesyen di pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) menjadi pencetus semangat seorang wartawan muda untuk kembali menyambung pengajian ke peringkat sarjana di Universiti Teknologi Tun Openg Sarawak (TAHOTECH).

Wartawan Suara Sarawak, Mohd Zahid Ahmad Zaki, 27, berkata keinginan untuk kembali menjejakkan kaki ke pentas konvokesyen sebagai graduan, selain membuktikan kesibukan kerjaya bukan penghalang untuk terus menimba ilmu mendorongnya merealisasikan impian tersebut.

Zahid merakam gambar kenangan bersama-sama kedua-dua ibu bapanya.

“Sejujurnya, membayangkan diri naik semula ke pentas untuk menerima ijazah sarjana menjadi pendorong utama saya menyambung pengajian.

“Sebagai wartawan, sudah menjadi kebiasaan untuk kita membuat liputan majlis graduasi di pelbagai universiti. Melihat kejayaan graduan lain menjadi antara faktor yang membuatkan saya terus bersemangat, selain sokongan ibu bapa, rakan-rakan dan orang sekeliling,” katanya kepada Suara Sarawak ketika Majlis Konvokesyen Ke-28 TAHOTECH di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.

Terus berkongsi cerita, Zahid menambah, pemilihan bidang Sarjana Pentadbiran Perniagaan adalah disebabkan pengalaman membuat liputan berkaitan bidang berkenaan sepanjang menjalankan tugas sebagai wartawan.

Menurutnya, penggunaan istilah tertentu yang agak sukar difahami pada awalnya menimbulkan minat untuk mendalami bidang tersebut, sekali gus mendorongnya memilih jurusan berkenaan.

Zahid merakam gambar kenangan sekali gus berkongsi kegembiraan selepas menerima skrol ijazah sarjana.

Jelasnya, pengajian yang mengambil masa kira-kira setahun itu bagaimanapun hadir dengan pelbagai cabaran, terutama dalam mengimbangi tuntutan akademik dan tanggungjawab hakiki sebagai wartawan.

“Tidak dinafikan, banyak liku yang dihadapi sehingga membuatkan saya pernah terfikir untuk berputus asa. Namun, saya cuba menguatkan semangat dan melihat setiap kesukaran daripada sudut positif.

“Saya berasa kebanyakan pelajar juga bersetuju bahawa penyediaan tesis merupakan cabaran paling besar kerana perlu kerap berjumpa penyelia untuk mengemukakan cadangan, mempertahankan kajian dan melakukan penambahbaikan.

“Proses itu agak mencabar kerana pada masa sama saya perlu menyiapkan tugasan kerja hakiki. Mengimbangi kedua-duanya bukan perkara mudah, malah cuti hujung minggu juga terpaksa dikorbankan bagi menyelesaikan tugasan yang diberikan,” ujarnya.

Bagi memastikan kedua-dua komitmen dapat dilaksanakan, Zahid memberitahu pengurusan masa menjadi keutamaan, lebih-lebih lagi apabila sebahagian besar masa lapang perlu digunakan untuk memenuhi tuntutan kerja dan pengajian.

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana sesi pengajian hanya berlangsung pada hujung minggu iaitu ketika hari cutinya sekali gus tidak mengganggu tugas kewartawanan pada hari bekerja.

Mengakui masa sebagai pengorbanan terbesar, Zahid berkata kehidupan peribadi turut terpaksa dikorbankan sepanjang setahun pengajian, meskipun masih mempunyai ruang untuk berehat yang perlu dimanfaatkan sebaiknya.

Dalam pada itu, dia melihat kelayakan sarjana yang diperoleh sebagai nilai tambah kepada kerjayanya khususnya dalam memahami istilah teknikal yang digunakan dalam bidang tertentu.

“Pengetahuan ini juga akan membolehkan saya memahami sesuatu perkara dengan lebih mendalam sebelum menterjemahkannya ke dalam penulisan berita menggunakan bahasa yang lebih mudah difahami pembaca,” jelasnya.

Berkongsi mengenai individu yang menjadi inspirasi, Zahid memberitahu, Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Tribune dan Suara Sarawak, Datuk Dr Jeniri Amir, yang juga bekas pensyarah, merupakan antara tokoh yang mendorong beliau untuk terus maju dalam bidang pendidikan.

Katanya, perjalanan kerjaya Jeniri turut menjadi inspirasi kepadanya untuk menceburi bidang akademik termasuk menyimpan hasrat untuk bergelar pensyarah pada masa hadapan.

“Saya menjadikan Datuk Dr Jeniri Amir sebagai inspirasi dan idola. Saya juga menyimpan hasrat untuk bergelar pensyarah suatu hari kelak,” ujarnya.

Dalam pada itu, Zahid menambah, ibu bapa dan keluarga merupakan sumber kekuatan utama sepanjang pengajiannya menerusi sokongan, dorongan serta kepercayaan yang diberikan untuk beliau menamatkan pengajian.

Selain itu, sokongan rakan-rakan, ketua di tempat kerja, pendidik serta insan terdekat yang sentiasa berkongsi ilmu dan memberikan kata-kata semangat turut membantunya mengharungi cabaran sepanjang tempoh pengajian.

“Saya juga berbangga kerana menjadi sebahagian daripada kumpulan pertama yang bergraduasi selepas Universiti Kolej i-CATS bertukar nama kepada TAHOTECH,” ujarnya lagi.

Anak keempat daripada lima beradik itu turut menitipkan pesanan kepada rakan-rakan wartawan khususnya golongan muda, agar tidak menjadikan kekangan masa dan komitmen kerja sebagai penghalang untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Tambahnya, peluang untuk menimba ilmu perlu dimanfaatkan sebaiknya tanpa mengira usia atau jantina sekiranya mempunyai kemampuan demi membanggakan diri sendiri, ibu bapa dan insan tersayang.

BERITA LAIN

Kuching-Jakarta buka laluan Sarawak jadi hab umrah

KUCHING: Laluan penerbangan terus Kuching-Jakarta berpotensi menjadi pemangkin kepada usaha menjadikan Sarawak sebagai hab pengumpulan jemaah umrah dari rantau Borneo, termasuk Sabah, Brunei dan Indonesia.

BERITA TERBARU

Kuching-Jakarta buka laluan Sarawak jadi hab umrah

KUCHING: Laluan penerbangan terus Kuching-Jakarta berpotensi menjadi pemangkin kepada usaha menjadikan Sarawak sebagai hab pengumpulan jemaah umrah dari rantau Borneo, termasuk Sabah, Brunei dan Indonesia.