ARTIKEL

Kuching-Jakarta buka laluan Sarawak jadi hab umrah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Laluan penerbangan terus Kuching-Jakarta berpotensi menjadi pemangkin kepada usaha menjadikan Sarawak sebagai hab pengumpulan jemaah umrah dari rantau Borneo, termasuk Sabah, Brunei dan Indonesia.

Inisiatif itu bukan sahaja memperkukuh kesalinghubungan udara di antara Sarawak dengan Indonesia, malah membuka ruang kepada usaha merealisasikan penerbangan terus dari Kuching ke Jeddah pada masa hadapan.

Pengerusi Pertubuhan Agensi Umrah dan Haji Sarawak (SUHA), Ruzaiman Ghazalee berkata, pihaknya menyambut baik pembukaan laluan Kuching-Jakarta yang dilihat mampu memudahkan pergerakan jemaah, selain memperluas potensi pasaran pelancongan Islam di negeri ini.

Menurutnya, SUHA merancang mengadakan pertemuan dengan AirBorneo bagi membincangkan potensi kerjasama serta peluang membangunkan rangkaian penerbangan yang dapat menyokong pertumbuhan industri umrah.

“Cadangan penerbangan terus Kuching-Jakarta dilihat sebagai permulaan yang realistik, mengambil kira potensi pasaran Indonesia yang mempunyai jumlah penduduk Islam yang besar.

“Kami juga berharap laluan penerbangan terus dari Kuching ke Pontianak dapat diwujudkan.

“SUHA berharap AirBorneo dapat mempertimbangkan laluan Kuching-Pontianak bagi melengkapkan perkhidmatan AirAsia sedia ada.

“Penambahan penerbangan ini mampu menarik lebih ramai jemaah umrah dari Kalimantan Barat menjadikan Kuching sebagai hab pengumpulan, sekali gus menyokong potensi penerbangan terus Kuching-Jeddah pada masa hadapan,” katanya menerusi kenyataan media.

Ruzaiman berkata, sekiranya laluan berkenaan mendapat sambutan menggalakkan, Sarawak berpeluang melangkah lebih jauh dengan meneroka kemungkinan menyediakan perkhidmatan penerbangan terus ke Jeddah.

Beliau berkata, Kuching mempunyai potensi menjadi pintu masuk strategik bagi jemaah dari seluruh Borneo untuk memulakan perjalanan ibadah ke Tanah Suci tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada hab penerbangan di luar Sarawak.

Katanya, kewujudan hab pengumpulan jemaah umrah bukan sahaja menawarkan kemudahan perjalanan, malah berupaya merancakkan aktiviti ekonomi menerusi sektor pelancongan, pengangkutan, perhotelan dan perkhidmatan sokongan.

Sehubungan itu, kerjasama erat antara agensi umrah, syarikat penerbangan dan kerajaan negeri penting bagi merealisasikan potensi berkenaan, sekali gus meletakkan Sarawak sebagai pusat penghubung strategik bagi perjalanan umrah di rantau ini.

Pada 13 November lalu, AirBorneo memperluas rangkaian penerbangannya ke Jakarta menggunakan pesawat Boeing 737-800, sekali gus menawarkan perkhidmatan penerbangan terus di antara kedua-dua bandar raya berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif AirBorneo, Megat Ardian Wira Mohd Aminuddin berkata, pembukaan laluan itu bukan sahaja bertujuan meningkatkan kesalinghubungan udara, malah menyokong pertumbuhan hubungan dua hala, khususnya dalam perdagangan, pelaburan dan kerjasama perniagaan di antara Sarawak dengan Jakarta.

Majlis pelancaran laluan berkenaan disempurnakan oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

Penerbangan terus Kuching-Jakarta itu beroperasi tiga kali seminggu, iaitu setiap Isnin, Jumaat dan Ahad, dengan tambang promosi bermula RM399 bagi kelas ekonomi dan RM888 bagi kelas perniagaan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU