KABONG: Datuk Mohd Chee Kadir mengesahkan tidak akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong pada Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak ke-13 akan datang.
Beliau berkata, sudah tiba masanya generasi muda diberikan peluang untuk meneruskan kepimpinan demi memastikan kesinambungan pembangunan dan masa depan kawasan Kabong.
“Keputusan ini dibuat setelah melalui pertimbangan mendalam, khususnya berkaitan kepentingan kesinambungan kepimpinan dan masa depan kawasan Kabong.
“Saya berpendapat sudah tiba masanya ruang serta peluang diberikan kepada barisan kepimpinan generasi muda untuk tampil meneruskan tanggungjawab, perjuangan dan aspirasi pembangunan yang telah kita usahakan bersama-sama selama ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, selepas ini beliau akan memberikan lebih tumpuan kepada bidang profesional, khususnya kerjaya dalam bidang perundangan.
Bagaimanapun, katanya, keputusan untuk tidak bertanding semula bukan bermakna hubungan beliau dengan masyarakat Kabong akan terputus.
“Saya tetap mempunyai ikatan dan penghargaan yang mendalam di kawasan ini serta seluruh masyarakat yang telah menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup dan perjuangan saya.
“Saya menyeru seluruh rakyat dan pengundi di Kabong supaya terus memelihara perpaduan, keharmonian dan kestabilan yang telah sekian lama menjadi kekuatan masyarakat.
“Berikanlah sokongan kepada calon yang bakal ditentukan oleh kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta terus memberikan kepercayaan kepada kepimpinan GPS di bawah pimpinan Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg,” ujarnya.
Chee menambah, meskipun jawatan dan tanggungjawab mungkin silih berganti, semangat untuk terus berbakti kepada masyarakat akan sentiasa menjadi sebahagian daripada dirinya.
Beliau turut melahirkan rasa syukur kerana diberikan mandat dan kepercayaan oleh masyarakat Kabong untuk berkhidmat sebagai wakil rakyat selama dua penggal.
“Kepercayaan ini merupakan satu penghormatan besar yang akan sentiasa saya kenang.
“Saya ingin menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh rakyat Kabong atas sokongan, dokongan dan kerjasama yang tidak pernah putus sepanjang tempoh perkhidmatan saya.
“Saya turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Premier Sarawak atas kepercayaan serta peluang yang diberikan kepada saya untuk menjadi sebahagian daripada kepimpinan GPS dalam mewakili rakyat di DUN Kabong selama dua penggal,” tambahnya.

