ARTIKEL

Kontinjen Sarawak merakam kenangan pada Pertandingan Tarian Aerobik Peringkat Kebangsaan 2026 di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor.

Kontinjen Aerobik Sarawak Cemerlang, Dua Pasukan Raih 10 Terbaik

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Dua pasukan Sarawak berjaya menempatkan diri dalam kelompok 10 terbaik daripada 15 pasukan bagi kategori masing-masing pada Pertandingan Tarian Aerobik Peringkat Kebangsaan 2026 di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor, Sabtu lalu.

Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Sarawak menerusi kenyataan memaklumkan, kontinjen negeri meraih tempat ketujuh bagi kategori remaja dan tempat kelapan kategori terbuka, sekali gus memperlihatkan kemampuan atlet tempatan bersaing di peringkat kebangsaan.

“Kejayaan ini turut menjadi pembakar semangat kepada para atlet untuk terus mempertingkatkan prestasi, kemahiran dan tahap kecergasan bagi menghadapi pertandingan akan datang.

“Ini sekali gus mengharumkan nama Sarawak dalam arena sukan kecergasan negara,” kata JBS, semalam.

Menurut JBS Sarawak, penyertaan kedua-dua pasukan itu turut memberikan pengalaman berharga kepada atlet dalam meningkatkan keyakinan, keseragaman pergerakan dan tahap kecergasan sepanjang pertandingan.

“Kejohanan yang berlangsung di Dewan Bankuet UPM itu juga menjadi medan kepada atlet memperkemas teknik persembahan, selain membina keserasian dan disiplin dalam pasukan.

“Penyertaan di peringkat kebangsaan turut membuka peluang kepada barisan kejurulatihan menilai kemampuan atlet serta mengenal pasti aspek yang perlu dipertingkatkan menjelang pertandingan seterusnya.

“Pencapaian kedua-dua pasukan diharap dapat memperkukuh pembangunan sukan kecergasan Sarawak, selain mendorong lebih ramai atlet muda melibatkan diri dalam pertandingan tarian aerobik pada masa hadapan,” ujar JBS.

Bagi kategori remaja melibatkan peserta berusia sembilan hingga 17 tahun, Sarawak berjaya menduduki tempat ketujuh selepas memberikan saingan kepada 14 pasukan lain.

Pasukan tersebut diuruskan Muzalifah Reni dengan bimbingan jurulatih, Raphael John Tagun dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hajjah Laila Taib, Samarahan.

Sementara itu, skuad kategori terbuka yang mempertandingkan peserta berusia 18 tahun ke atas turut mempamerkan persembahan memberangsangkan apabila menamatkan saingan di kedudukan kelapan daripada 15 pasukan.

Pasukan berkenaan diketuai pengurus, Dayang Nur Adzlyn Abang Mohamad Tosen dengan bimbingan jurulatih, Ivy Nadia Michael serta Penolong Jurulatih, Wan Jesfrydi Wan Ahmad.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU