ARTIKEL

Bojan Hodak dilantik sebagai Ketua Jurulatih baharu Harimau Malaya bagi menggantikan pengendali sementara, Tan Cheng Hoe.

BOJAN SAH KEMUDI HARIMAU MALAYA

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Bekas pengendali Persib Bandung, Bojan Hodak dilantik sebagai ketua jurulatih baharu Harimau Malaya, manakala Tan Cheng Hoe diberikan tanggungjawab sebagai Pengarah Pasukan Kebangsaan.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi Presiden, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, pelantikan jurulatih kelahiran Croatia berusia 55 tahun itu dibuat berdasarkan pengalaman luas dan rekod kejayaannya bersama beberapa kelab di Malaysia serta Indonesia.

“FAM percaya pengalaman luas Bojan Hodak dalam bola sepak Malaysia dan rantau Asia Tenggara merupakan satu kelebihan penting dalam memahami persekitaran, karakter serta potensi pemain tempatan.

“Rekod kejayaan beliau bersama beberapa kelab di Malaysia dan Indonesia turut memperlihatkan keupayaannya membentuk pasukan yang kompetitif serta mampu bersaing untuk mencapai kejayaan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut Ab Ghani, FAM berharap kehadiran Hodak dapat membawa pendekatan baharu dalam memperkukuh prestasi skuad kebangsaan, khususnya sebagai persediaan menghadapi kejohanan antarabangsa akan datang.

“Kami berharap pelantikan ini dapat memberikan hala tuju baharu kepada Harimau Malaya, selain memperkukuh persiapan pasukan dalam menghadapi cabaran dan kejohanan antarabangsa akan datang,” jelasnya.

Hodak bukan nama asing dalam arena bola sepak tempatan apabila pernah membimbing UPB-MyTeam, Kelantan, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuala Lumpur City FC, selain mengendalikan skuad Malaysia Bawah 19 Tahun (B-19) dari 2017 hingga 2019.

Antara pencapaian terbesarnya ialah membawa Kelantan meraih tiga kejuaraan utama pada 2012, iaitu Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia, sebelum membimbing JDT menjulang Liga Super 2014.

Beliau kemudian mencipta kejayaan bersama Kuala Lumpur City apabila menamatkan penantian kelab itu untuk menjuarai Piala Malaysia pada 2021, selain muncul naib juara Piala AFC 2022.

Di pentas antarabangsa, Hodak turut membuktikan kemampuannya apabila membimbing skuad Malaysia B-19 menjuarai Kejuaraan B-19 Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2018 di Surabaya, Indonesia.

Jurulatih kelahiran Zagreb itu juga pernah mengendalikan kelab Kemboja, Phnom Penh Crown FC dan PSM Makassar dari Indonesia sebelum menyertai Persib Bandung.

Bersama Persib, Hodak melakar pencapaian cemerlang apabila membimbing kelab berkenaan meraih tiga kejuaraan liga Indonesia berturut-turut bagi musim 2023/2024, 2024/2025 dan 2025/2026.

Sementara itu, pelantikan Hodak menyaksikan Cheng Hoe menamatkan tugas sebagai Ketua Jurulatih Interim Harimau Malaya selepas diberikan tanggungjawab tersebut pada 25 Jun lalu bagi menggantikan Peter Cklamovski.

Untuk rekod, kontrak Cklamovski ditamatkan secara persetujuan bersama berkuat kuasa 16 Jun 2026 sebelum FAM menyerahkan tugas sementara kepada Cheng Hoe.

Dalam peranan baharunya sebagai Pengarah Pasukan Harimau Malaya, Cheng Hoe akan terus menyumbang pengalaman dan kepakaran bagi memperkukuh pengurusan serta hala tuju pembangunan pasukan kebangsaan.

FAM turut merakamkan penghargaan kepada Cheng Hoe atas komitmen dan khidmatnya sepanjang mengendalikan skuad kebangsaan, selain berharap kerjasama beliau bersama Hodak dapat memperkukuh persiapan Harimau Malaya menghadapi cabaran seterusnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU