SARIKEI: Seorang wanita berdepan detik cemas selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandunya terbabas sebelum terbalik dalam kemalangan kendiri di Jalan Sarikei-Saratok, Taman Sebangkoi, pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 5.51 pagi.
Katanya, sepasukan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei seramai sembilan orang bersama dua jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Pasukan tiba di lokasi pada jam 6.29 pagi dan mendapati mangsa sudah berjaya keluar sendiri daripada kenderaan.
“Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, selepas kenderaan berkenaan dialihkan menggunakan trak tunda, pasukan bomba menjalankan kerja pembersihan permukaan jalan bagi memastikan laluan berkenaan selamat digunakan.
Operasi dikawal pada jam 6.40 pagi dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.40 pagi selepas keadaan di lokasi disahkan selamat.



