SERIAN: Persatuan Bola Sepak Bahagian Serian (SFA) hanya akan memilih 18 pemain terbaik bagi tujuan pembentukan skuad untuk menghadapi Festival Bola Sepak Wanita 2026.
Presiden SFA, MD Haiqal Abdullah memberitahu, ketika ini terdapat lebih 20 pemain berbakat yang dikenal pasti menerusi sesi pemilihan yang diadakan Sabtu lepas.
Bagaimanapun, menurut Haiqal, jumlah sedia ada akan dikurangkan mengikut perancangan awal yang ditetapkan.
“Ketika ini lebih 20 orang pemain yang berada dalam senarai akhir untuk mengikuti pemilihan akhir yang akan diadakan Sabtu ini.
“Daripada jumlah tersebut, hanya 18 orang pemain terbaik akan dimuktamadkan untuk mewakili Serian di festival itu kelak,” tegas Haiqal kepada Arena Suara Sarawak.
Beliau mengakui himpunan pemain sedia ada semuanya berbakat dan berpotensi untuk dipertaruhkan sepanjang festival edisi pertama yang dijadualkan berlangsung pada 21 Disember nanti.
Dalam pada itu, Haiqal menyeru pemain yang akan menyertai sesi pemilihan akhir Sabtu ini mempamerkan kehebatan sebenar mereka.
“Inilah peluang terbaik anda untuk menyarung jersi pasukan Serian.
“Manfaatkan peluang yang ada pada sesi pemilihan akhir nanti,” tambah Haiqal.



