ARTIKEL

Ding Kuong Hiing menyantuni ahli Unit Melayu Saberkas dalam kunjungan Rindok Raya di sekitar Bintangor.

Jadi Contoh Organisasi Berjiwa Masyarakat

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTANGOR: Usaha gigih ahli Unit Melayu Saberkas terus mendapat pengiktirafan apabila berjaya menganjurkan pelbagai program kemasyarakatan yang memberi manfaat besar kepada penduduk di Meradong.

ADUN Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh ahli pertubuhan itu membuktikan keprihatinan mereka dalam membina masyarakat yang harmoni dan bersatu padu.

Menurut beliau, penganjuran aktiviti seperti gotong-royong, program kebajikan serta inisiatif belia berjaya merapatkan hubungan antara penduduk tanpa mengira latar belakang.

“Peranan yang dimainkan oleh Unit Melayu Saberkas bukan sahaja tertumpu kepada pembangunan sosial, malah turut menyemai nilai perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat.

“Pendekatan inklusif yang diamalkan wajar dijadikan contoh oleh organisasi lain dalam usaha memperkukuh keharmonian komuniti,” katanya pada program Rindok-Rindok Raya Saberkas di sini, semalam.

Dalam pada itu, beliau turut memuji semangat kerjasama yang ditunjukkan oleh ahli Saberkas dalam memastikan setiap program yang dirancang dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Program berkenaan merupakan antara usaha untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara kepimpinan dengan ahli Saberkas di peringkat akar umbi, khususnya dalam kalangan Unit Melayu Cawangan Meradong.

Sepanjang lawatan tersebut, Kuong Hiing turut meluangkan masa beramah mesra bersama-sama ahli serta mendengar pandangan dan perkembangan setempat.

Beliau turut menekankan kepentingan perpaduan, semangat kekitaan dan kerjasama dalam kalangan ahli bagi memastikan pembangunan masyarakat terus diperkukuh.

Program tersebut bukan sahaja mencerminkan keprihatinan kepimpinan terhadap rakyat, malah menjadi platform penting untuk mempererat hubungan, memupuk persefahaman serta menyemarakkan semangat Aidilfitri dalam kalangan masyarakat setempat.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU