KUCHING: Pas Lawatan Profesional (PVP) yang diperkenalkan oleh Kerajaan Sarawak menunjukkan kesediaan wilayah ini menyambut kehadiran profesional digital dari seluruh dunia.
Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) terdahulu mengumumkan pembukaan permohonan bagi Pas DE Rantau Sarawak – satu langkah strategik meletakkan Sarawak sebagai destinasi utama ASEAN bagi golongan nomad digital dan profesional bekerja jarak jauh.
Ketua Pegawai Eksekutif SDEC, Datuk Ir. Ts. Sudarnoto Osman berkata, program berkenaan yang dibangunkan dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) serta disokong oleh Kerajaan Sarawak memperkenalkan Pas Lawatan Profesional (PVP).
Menurutnya, ia membolehkan pekerja bebas digital dan profesional jarak jauh yang layak, tinggal serta bekerja di Sarawak sehingga 12 bulan dengan pilihan pembaharuan untuk tempoh setahun lagi.
“Pelaksanaan pas ini menunjukkan kesediaan Sarawak untuk menyambut kehadiran profesional digital dari seluruh dunia, seiring dengan usaha memperkukuh komuniti digital yang berasaskan inovasi dan kelestarian,” katanya dalam kenyataan.
Jelasnya, visi ini sejajar aspirasi Premier Sarawak, yang menekankan komitmen Kerajaan Sarawak dalam memperkasa ekonomi digital serta menjadikan Sarawak destinasi pilihan utama bagi tenaga kerja global.
“Antara kelebihan yang ditawarkan melalui program ini termasuk kemudahan permohonan dalam talian, visa bekerja jarak jauh yang sah antara tiga hingga 12 bulan (dan boleh diperbaharui).
“Kelayakan terbuka kepada pekerja bebas digital, usahawan serta pempengaruh digital, selain kemudahan membawa ahli keluarga,” ujarnya.
Untuk rekod, inisiatif ini merupakan fasa pertama Program Residensi Digital Sarawak (SDRP), antara komponen utama Strategi Ekonomi Digital Sarawak bagi menarik bakat antarabangsa, memperkukuh mobiliti digital dan memperluas ekosistem inovasi negeri.
Maklumat lanjut mengenai permohonan Pas DE Rantau Sarawak boleh diperoleh di laman web rasmi seperti pautan berikut, https://sdec.com.my/web/de-rantau-sarawak/

