ARTIKEL

Barisan KMKK Kawasan Wak merakamkan kenangan bersama Mawan (berdiri tengah).

Jadikan amalan berterima kasih dan bersyukur sebagai budaya – Mawan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PAKAN: Jadikan amalan berterima kasih dan bersyukur sebagai budaya yang patut diikuti oleh semua masyarakat, khasnya kepada pemimpin dan kerajaan.

Menurut Penasihat di Pejabat Premier Sarawak (Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah), Tan Sri William Mawan Ikom, budaya ini harus diterapkan agar menjadi satu identiti yang patut diteruskan.

“Budaya berterima kasih ini merupakan budaya yang patut diterapkan kepada diri kita, lebih-lebih lagi kerana kerajaan sentiasa membantu dan tidak meninggalkan rakyat.

“Oleh demikian, jangan segan untuk mengucapkan terima kasih kepada orang yang telah membantu,” kata Mawan.

Beliau, yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan, berkata demikian pada Program Randau dengan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Kawasan Wak.

Pada program tersebut juga, Mawan turut menasihatkan KMKK di Pakan agar sentiasa berkongsikan segala maklumat demi urus tadbir yang lebih baik.

“Saya meminta semua KMKK di Pakan sentiasa berkongsikan segala input dan ini merupakan satu tindakan yang terbaik bagi mewujudkan muafakat dan seterusnya melicinkan pentadbiran.

“Di samping itu juga, jalankan tugas anda semua (KMKK) dengan sebaik mungkin kerana anda semua merupakan pemimpin terpenting di peringkat akar umbi,” kata Mawan.

Menyentuh mengenai ekopelancongan, Mawan menyatakan bahawa Pakan mempunyai potensi yang besar untuk dijadikan kawasan pelancongan.

“Pakan merupakan daerah termesra di Malaysia dan ini akan memudahkan pelancong untuk datang melawat Pakan.

“Sebab di Pakan, banyak tempat menarik dan bersejarah yang patut dilawati semua seperti Makam Rentap, air terjun, aktiviti mendaki bukit dan rumah inap desa tradisional.

“Malah budaya dan sosial masyarakat Pakan yang mesra merupakan satu kelebihan Pakan untuk diangkat menjadi ekopelancongan,” jelasnya.

Tambah Mawan, persekitaran Pakan masih mempunyai kawasan hutan yang menghijau dan mampu menarik minat penggemar alam sekitar.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU