KUCHING: Kerjasama strategik komuniti perniagaan di Sabah, Sarawak, Kalimantan dan Brunei perlu diperkukuh untuk membolehkan Borneo muncul sebagai pemain global dalam menangani isu perubahan iklim.
Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, usaha itu penting memandangkan Borneo kaya dengan sumber semula jadi serta memiliki keluasan hutan hujan tropika yang menjadikannya lokasi strategik untuk penyimpanan karbon.
Katanya, Borneo juga mempunyai kawasan luar pesisir yang berpotensi besar bagi pelaksanaan teknologi Penangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS), sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai hab ekonomi hijau di rantau ini.
“Tujuh bulan lalu saya dijemput oleh komuniti industri dan perniagaan Indonesia untuk menyampaikan ucaptama di Jakarta. Dalam ucapan tersebut, saya berkongsi berkaitan susunan ekonomi baharu yang dipacu perubahan iklim.
“Saya mencadangkan agar kita bekerjasama dan berkolaborasi, sekurang-kurangnya dalam kalangan wilayah di Borneo iaitu Sabah, Sarawak, Kalimantan serta Brunei,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Sambutan Gawai-Kaamatan Bersama Dewan Perniagaan dan Perindustrian Dayak (DCCI) dan Dewan Perniagaan Kadazandusun (KCCI) ke-17 di Kompleks UNIFOR di sini, malam tadi.
Mengulas lanjut, Abang Johari menambah, Borneo merupakan pulau ketiga terbesar di dunia dengan keluasan kira-kira 748,168 kilometer persegi.
“Borneo memiliki hutan hujan tropika tertua di dunia. Dalam erti kata lain, kawasan ini merupakan lokasi yang amat sesuai untuk penyimpanan karbon, selain mempunyai kawasan luar pesisir yang berpotensi bagi pelaksanaan CCUS,” ujarnya.
Beliau memaklumkan, sekiranya Dewan Perniagaan dan Industri Indonesia, khususnya Kalimantan, bekerjasama dengan DCCI serta KCCI, maka kita mampu menjadi pemain global dalam menangani isu perubahan iklim.
Dalam hal berkaitan Abang Johari memberitahu, beliau juga diminta oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memberikan pandangan berkaitan ASEAN Grid.
“Bagaimanapun, sehingga kini ASEAN masih belum mempunyai kerangka dan platform bersama yang jelas bagi mengurus agenda ASEAN Grid. Oleh itu, saya memaklumkan kepada mereka bahawa Sarawak kini melaksanakan pendekatan secara dua hala dengan rakan-rakan serantau.
“Kita berkongsi bekalan tenaga dengan Sabah dan Kalimantan. Malah, Kalimantan kini memohon tambahan bekalan elektrik sebanyak 300 megawatt (MW), dan Sarawak membekalkan tenaga kepada Kalimantan sejak lima tahun lalu.
“Pada masa yang sama, mungkin selepas grid utama Sabah–Sarawak ke Sipitang, kita akan menghubungkan grid tersebut dengan Brunei Darussalam yang kita sebut sebagai saling hubungan rentas sempadan secara dua hala (bilateral), pada akhirnya ia boleh berkembang menjadi satu grid bersama merangkumi rantau ASEAN,” tegasnya.



