KUCHING: Forum Zakat dan Wakaf Sedunia (WZWF) perlu menjadi pemangkin strategi global dalam memperkasa pembangunan umat Islam melalui institusi zakat dan wakaf, bukan sekadar menjadi medan perbincangan ilmiah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan, WZWF mesti berperanan sebagai perintis strategi dunia Islam dalam meneroka model baharu kewangan sosial Islam yang berpaksikan nilai, digerakkan inovasi dan disatukan tujuan bersama.
“Forum ini tidak boleh berhenti pada tahap dialog. Ia mesti menjadi makmal strategi dan pusat pelaksanaan global yang membimbing kerajaan serta komuniti.
“WZWF perlu menetapkan penanda aras, membangunkan model dan memandu pelaksanaan agar manfaat zakat dan wakaf dapat dimaksimumkan demi kesejahteraan umat,” tambahnya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan yang dibacakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Setia Dr. Mohd. Na’im Mokhtar, ketika menyempurnakan Majlis Penutupan WZWF 14th Annual Meeting & International Conference 2025 di Hikmah Exchange, di sini.
Anwar berkata, Malaysia bersedia menjadi rakan dan peneraju dalam usaha memperkukuh peranan WZWF sebagai institusi antarabangsa berpengaruh, sambil mengumumkan hasrat menempatkan sekretariat tetap forum tersebut di Malaysia.
Beliau menambah, gagasan Malaysia Madani menyediakan landasan kukuh untuk memupuk kerjasama rentas sempadan dalam pembangunan sosial Islam berteraskan prinsip keadilan, ketelusan dan kemanusiaan sejagat.
“Jika politik memecahbelahkan kita, biarlah zakat dan wakaf yang menyatukan.
“WZWF mesti menjadi suara moral dunia Islam dalam menentang peperangan, ketidakadilan dan penindasan,” tegasnya.


