Jaga-jaga orang Sibu! Pengintip dari langit pantau dan rakam yang ingkar PKP

SIBU: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menggunakan dron dalam melakukan pemantauan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bandar ini.

Panglima 9 Briged Brigedier Jeneral Shamshor Jaafar berkata, melalui dron juga mereka akan menghebahkan dan mengingatkan rakyat supaya mematuhi SOP PKP.

“Pemantauan untuk penguatkuasaan PKP di bahagian Sibu termasuk kawalan pergerakan di Sibu Jaya memerlukan kerjasama pelbagai pihak.

“Selain Sekatan Jalan Raya (SJR) dan rondaan polis, pihak ATM juga turut membantu melalui penggunaan drone untuk memantau dan memberi hebahan untuk orang ramai,” katanya sebentar tadi.

Terdahulu, Shamshor melakukan tinjauan ke lokasi SJR di kawasan Pasai Siong di sini.

TINJAU…Shamshor (kiri) ketika memantau SJR di Pasai-Siong.

Beliau turut meluangkan masa hampir 40 minit untuk mendengar masalah petugas di SJR khususnya anggota ATM dan meninjau kemudahan yang terdapat di situ.

Beliau memberi jaminan bahawa pihak ATM akan terus memberikan komitmen tinggi bagi membantu pihak berkuasa tempatan memastikan penduduk di Sibu sentiasa mematuhi SOP PKP yang telah dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Dengan penggunaan dron, jelasnya, adalah untuk membuat pemantauan dari udara terutama untuk ke lokasi-lokasi yang sukar dimasuki disebabkan jarak.

“Pengendali drone akan meninjau di sekitar kawasan yang telah ditetapkan untuk memeriksa pematuhan SOP oleh penduduk setempat.

“Selain itu, dron yang lengkap dengan alat pembesar suara itu akan memainkan rakaman audio mengenai pematuhan SOP PKP kepada orang ramai,” jelas Shamshor.

APA INI…Shamshor (dua kiri) ketika menunjukkan sesuatu kepada anggotanya.

 

SENJATA BAHARU… Anggota ATM ketika mengendalikan drone.