Jaga keselamatan diri dan keluarga

MUKAH: Kesemua kawasan Dun di Mukah meliputi Kuala Rejang, Semop, Daro, Dalat, Tellian dan Balingian telah menerima sepenuhnya bantuan menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian dan Daerah Mukah.

Residen Mukah Hamdiah Bakir berkata, bantuan makanan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Yayasan Kebajikan Negara (YKN) untuk kawasan Parlimen Mukah, Igan dan Tanjong Manis kini sedang diagihkan.

Menurutnya, pihaknya menghargai sumbangan organisasi bukan kerajaan, pelbagai agensi dan orang perseorangan yang turut menghulurkan bantuan.

“Antara pihak yang turut menghulurkan sumbangan adalah Sarawak Energy Berhad, Tabung Baitulmal Sarawak, Rin Wood, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia, pihak masjid, surau, gereja dan orang perseorangan,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak, semalam.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian dan Daerah Mukah berharap semua bantuan itu dapat meringankan beban rakyat khasnya mereka yang terjejas dari segi pendapatan termasuk golongan miskin dan OKU dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya berharap penduduk terus bersabar, jaga keselamatan diri, keluarga dan komuniti setempat,” tambahnya.

Jika mempunyai masalah hubungi Bilik Operasi Bencana Dearah di Bahagian Mukah termasuk Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian (PKMB) di talian 084-873801, ujarnya.

Pengagihan bantuan makanan daripada YKN dengan kerjasama Ahli Parlimen Mukah Datuk Hanifah Hajar Taib dan Adun Tellian Yusibnosh Balo semalam diteruskan melalui Pusat Khidmat kepada ketua kaum di kawasan Tellian dan Tuai Rumah Sebakong meliputi 24 kampung.

Pengagihan tersebut fokus kepada keluarga asnaf dan penduduk yang terjejas sepanjang tempoh PKP.

Penerima bantuan dipilih berdasarkan nama yang dicadangkan oleh tuai rumah dan ketua kaum di setiap kawasan.