KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, Datuk Gerawat Gala menggesa tindakan pembaikan segera diambil terhadap jalan bekas pembalakan yang kritikal bagi memastikan laluan tersebut selesa dan selamat digunakan rakyat.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) itu berkata, kebanyakan jalan di kawasan pedalaman Telang Usan dan Mulu merupakan jalan bekas pembalakan yang kini berfungsi sebagai laluan utama penduduk setempat.
Menurutnya, keadaan jalan-jalan berkenaan semakin teruk akibat faktor usia, ketiadaan penyelenggaraan berkala serta kesan cuaca, termasuk hujan lebat yang berpanjangan.
“Sehubungan itu, saya ingin menekankan keperluan agar langkah pembaikan segera dilaksanakan bagi laluan kritikal yang kini tidak dapat dilalui dengan selamat,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasminya, hari ini.
Beliau berkata, langkah tersebut merangkumi pelaksanaan pelan penyelenggaraan berkala yang lebih sistematik serta perancangan jangka panjang bagi menaik taraf jalan bekas pembalakan kepada jalan awam yang lebih kekal dan selamat.
Terdahulu, beliau bersama ADUN Telang Usan, Datuk Dennis Ngau, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Felicia Tan, serta Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Datuk Ir Dr Cassidy Morris mengadakan perbincangan dengan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Perbincangan tersebut menyentuh hala tuju serta langkah pembaikan terhadap keadaan jalan bekas pembalakan yang semakin merosot di kawasan Telang Usan dan Mulu.
Beliau berkata, perbincangan itu amat signifikan kerana melibatkan keperluan asas rakyat, khususnya akses perhubungan darat yang selamat, boleh diharap dan berdaya tahan.
Dalam perbincangan sama, beberapa cadangan menaik taraf serta kerja baik pulih jalan dan jambatan telah diluluskan oleh Kerajaan Sarawak.
“Mewakili rakyat di Baram, saya merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak dan Datuk Amar Douglas Uggah atas keprihatinan terhadap keadaan jalan di Ulu Baram.
“Kami berharap kerja-kerja ini dapat dimulakan secepat mungkin di bawah pemantauan JKR Sarawak,” katanya.


