KUCHING: Jalan Guro yang dilancarkan di kawasan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) menjadi simbol baharu hubungan persahabatan di antara Kuching Selatan dengan Daerah Guro, Korea Selatan.
Timbalan Premier Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian berkata, ia sekali gus membuka ruang kepada kerjasama lebih luas dalam bidang perdagangan, pelaburan, teknologi dan pembangunan bandar.
“Penamaan Jalan Guro bukan sekadar simbolik, malah mencerminkan hubungan yang dibina atas asas kepercayaan, komitmen dan pelibatan berterusan kedua-dua bandar.
“Jalan Guro menjadi peringatan bahawa walaupun dipisahkan oleh geografi, kedua-dua bandar berkongsi aspirasi, nilai dan kesediaan untuk terus bekerjasama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Jalan Guro di kawasan MBKS, di sini, hari ini.
Menurutnya, hubungan antara MBKS dengan Daerah Guro telah berkembang melalui lawatan rasmi, pertukaran pelajar, persembahan kebudayaan, program komuniti serta kerjasama perniagaan yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
Dalam perkembangan lain, beliau turut menyambut baik cadangan penubuhan Majlis Perniagaan Kuching-Guro bagi memperkukuh perdagangan, pelaburan dan kerjasama perniagaan yang membuka peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana serta syarikat Korea.
“Besar harapan agar kerjasama terus diperluas meliputi teknologi digital, pembangunan bandar pintar, kelestarian alam sekitar, kesihatan, pendidikan, sukan dan pemerkasaan belia demi manfaat bersama kedua-dua bandar,” ringkasnya.



