ARTIKEL

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg (tiga kiri) memukul gong sambil disaksikan tetamu kenamaan yang lain pada Majlis Ngiling Bidai Sambutan Hari Gawai Dayak Daerah Gedong di Kampung Keniong Jaya. Foto UKAS

Jalan Hubungkan Gedong-Ulu Simunjan Dijangka Siap Dalam Tempoh Satu Hingga Dua Tahun

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

GEDONG: Jalan baharu yang menghubungkan Gedong dan Ulu Simunjan menerusi Semelatong dijangka siap dalam tempoh dua tahun sekali gus menjadi pemangkin kepada jaringan perhubungan lebih cekap antara kawasan selatan dengan pertengahan Sarawak.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, projek itu merupakan sebahagian daripada perancangan pembangunan infrastruktur yang turut merangkumi laluan dari Serian ke Gedong melalui Jalan Munggu Kopi yang sedang dinaik taraf dan diperluas.

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg (duduk tengah) bersama-sama kenamaan yang lain merakam foto pada Majlis Ngiling Bidai Sambutan Hari Gawai Dayak Daerah Gedong di Kampung Keniong Jaya. FOTO UKAS

Menurutnya, pembangunan laluan baharu itu akan memendekkan perjalanan ke Ulu Simunjan yang sebelum ini mengambil masa lebih lama berikutan keadaan jalan yang berliku.

“Dulu Ulu Simunjan jauh sebab jalannya berpusing. Hari ini kita bangunkan laluan melalui Semelatong dan seterusnya ke Gedong.

“Mudah-mudahan siap dalam masa setahun dua ini dan ia akan merapatkan Gedong dan Simunjan termasuk kawasan Ulu Simunjan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Ngiling Bidai Sambutan Hari Gawai Dayak Daerah Gedong di Kampung Keniong Jaya di sini, malam tadi.

Abang Johari yang juga ADUN Gedong berkata pembangunan kawasan di seberang Gedong turut berjalan lancar selari dengan usaha memperkukuh pertumbuhan daerah berkenaan.

Katanya, kerajaan juga mempunyai perancangan memperluas bekalan air bagi memenuhi keperluan penduduk di Gedong dan Simunjan.

Menurut beliau, pembangunan kedua-dua kawasan ini perlu dilihat secara menyeluruh kerana mempunyai hubungan rapat dari sudut ekonomi dan pembangunan.

Beliau turut menjelaskan apabila jaringan jalan dari Munggu Kopi ke Gedong disiapkan dan disambungkan ke Rembus, Samarahan, Asajaya serta Sadong Jaya, kawasan tersebut akan mempunyai akses lebih dekat ke Kuching menerusi jambatan baharu di Sejingkat.

Tambah beliau, rangkaian itu seterusnya akan menghubungkan kawasan Sebuyau, Batang Lupar, Lingga, Sri Aman dan Betong sekali gus memendekkan masa perjalanan serta mengukuhkan hubungan antara selatan dengan pertengahan Sarawak.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU