ARTIKEL

Jalan Seduku–Lingga diancam hakisan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Jalan utama sepanjang 31.3 kilometer dari Kampung Agropolitan Seduku ke Pekan Lingga berdepan ancaman hakisan tebing Sungai Batang Lupar, terutama di KM4.2 yang jaraknya dianggarkan hanya 10 hingga 15 meter dari sungai.

ADUN Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, keadaan itu menimbulkan kebimbangan keselamatan pengguna jalan raya sekiranya hakisan terus berlaku akibat arus deras sungai berkenaan.

“Saya meminta kerajaan negeri mempertimbangkan langkah segera bagi melindungi laluan penting yang menghubungkan penduduk kawasan berkenaan,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.

Pada masa sama Dayang Noorazah mencadangkan pembinaan struktur perlindungan tebing sungai sepanjang kira-kira dua kilometer di lokasi terjejas bagi mengurangkan risiko hakisan jalan utama itu.

Bagi penyelesaian jangka panjang, beliau turut mencadangkan pembinaan jalan alternatif baharu dari Kampung Agropolitan Seduku ke Lingga sekiranya laluan sedia ada terus berdepan risiko.

Menurutnya, perancangan awal amat penting kerana tempoh ketahanan jalan berkenaan dalam menghadapi hakisan sukar dijangkakan, sekali gus memerlukan perhatian dan tindakan pihak berkuasa sebelum keadaan menjadi lebih serius.

Selain itu, beliau membangkitkan kebimbangan penduduk dengan hakisan pantai di Tanjung Riong, Maludam serta hakisan tebing sungai di kawasan Seduku hingga Lingga.

Tegas beliau, Projek Perlindungan Hakisan Pantai Tanjung Riong yang berada di bawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan difahamkan sedang menuju ke peringkat pelaksanaan selepas proses pelantikan pihak pelaksana dibuat.

Bagaimanapun, beliau meminta agensi berkaitan mengesahkan garis masa permulaan kerja dan jadual penyiapan projek bagi memberikan kepastian kepada penduduk yang terjejas.

Beliau turut menekankan kepentingan pemantauan rapi dan penyelarasan antara kerajaan negeri dengan Persekutuan bagi memastikan projek perlindungan hakisan dilaksanakan mengikut spesifikasi teknikal serta jadual ditetapkan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU