MIRI: Projek Jalan Ulu Suai sepanjang 18.99 kilometer (km) yang menelan peruntukan sebanyak RM68 juta kini siap sepenuhnya.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Amar Douglas Uggah Embas melakukan lawatan kerja melawat tapak projek tersebut di sini, hari ini.
Menurutnya, kerja-kerja menaik taraf jalan menggunakan teknologi Kitar Semula Turapan (CIPR) dengan pembalut permukaan pengedap cip itu kini menjadikannya jalan standard Jabatan Kerja Raya (JKR) R3.

“Teknik tersebut merupakan proses rawatan untuk jalan yang mengalami kerosakan serta kecacatan struktur.
“Justeru itu, teknologi CIPR akan digunakan untuk menaik taraf lebih banyak jalan ladang di kawasan luar bandar negeri ini terutamanya bekas jalan balak,” katanya selepas lawatan tersebut.
Sementera itu, kerja-kerja naik taraf tersebut turut merangkumi penambahbaikan sistem perparitan, penggantian dan pembinaan pembentung baharu serta penyediaan parit di tepi jalan termasuk saliran di kawasan cerun.

Peruntukan yang disediakan juga termasuk untuk menyediakan papan tanda jalan, tanda turapan, pagar, rawatan tanah serta struktur penahan jika diperlukan.
Turut hadir Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Majang Renggi dan Pengarah JKR Sarawak Richard Tajan.



