KUCHING: Dengan struktur sepanjang 4.8 kilometer dan reka bentuk menarik, Jambatan Batang Lupar 1 kini semakin hampir menjadi kenyataan apabila mencapai 91.23 peratus tahap pelaksanaan.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak berkata pencapaian itu menandakan satu lagi kemajuan besar dalam usaha menyambungkan jaringan jalan pesisir Sarawak tanpa feri.
“Ia bakal siap pada pertengahan tahun 2026 dan menggantikan perkhidmatan feri Batang Lupar,” menurut hantaran jabatan itu di Facebook, hari ini.
Jelasnya, jambatan tersebut turut menawarkan perjalanan lebih lancar dan selesa kepada rakyat.
Untuk rekod, jambatan dengan tiang setinggi 111 meter dan kos pembinaan bernilai RM848.7 juta itu bakal menjadi mercu tanda baharu di Sarawak.
Jambatan berkenaan juga dijangka memendekkan masa perjalanan di kawasan pesisir, khususnya bagi menghubungkan Sebuyau dan Triso di Bahagian Samarahan dan Betong.
Selain itu, pelaksanaannya bakal menjadi pemangkin transformasi ekonomi setempat, terutama dalam sektor pertanian, perumahan serta Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).





