Jambatan Batang Lupar terpanjang di Malaysia

SEBUYAU: Jambatan Batang Lupar boleh dikategorikan sebagai Raja Jambatan di Sarawak dan Malaysia, apabila bukan sahaja menjadi jambatan paling panjang merentasi sungai di Sarawak bahkan juga di Malaysia, kata Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Julaihi Narawi.

Menurutnya, pembinaan jambatan bernilai RM848 juta ini merangkumi dua komponen iaitu membina jalan penghubung ke jambatan di sebelah Sebuyau sepanjang 3 kilometer (km) dan satu lagi di sebelah Triso sepanjang 2.8 km yang mana telah mula dibina sejak tahun lalu dengan kos RM66 juta.

Komponen seterusnya, kata beliau ialah membina struktur Jambatan itu sendiri sepanjang 4.8 km dengan dua lorong sehala yang mempunyai piawaian jalan iaitu standard jalan JKR R5 manakala ‘verticle clearance’ setinggi 26 meter untuk membolehkan kapal-kapal lalu di bawah jambatan tersebut.

“Sepanjang 600 meter jambatan ini nanti merupakan jambatan ikonik jenis kabel penahan.

“Jambatan Batang Lupar adalah jambatan yang paling strategik yang terletak di laluan jalan pesisir yang diguna oleh semua pengguna dari seluruh Sarawak yang mengguna jalan pesisir,” katanya ketika berucap sempena Majlis Pecah Tanah Jambatan Batang Lupar yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Tan Sri James Jemut Masing dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion.

Julaihi menambah Jambatan Batang Lupar apabila siap kelak juga akan menjadi pelengkap kepada jalan pesisir Sarawak.

Suara Sarawak