ARTIKEL

Jambatan Batang Sejingkat, jambatan jenis kabel galang yang direka sebagai jambatan berkembar dua lorong sepanjang 1.2 kilometer, dijangka siap pada Oktober ini. | Foto: Ramidi Subari.

Jambatan Batang Sejingkat dijangka siap Oktober ini

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pembinaan Jambatan Batang Sejingkat kini mencapai 94 peratus kemajuan, iaitu satu peratus lebih awal daripada jadual, dan dijangka siap pada Oktober ini sebelum menjadi laluan baharu yang menghubungkan Kuching dengan kawasan pesisir Sarawak.

Jambatan jenis kabel galang yang direka sebagai jambatan berkembar dua lorong sepanjang 1.2 kilometer itu dijangka digunakan oleh kira-kira 15,000 kenderaan setiap hari, sekali gus mengurangkan kesesakan trafik di laluan sedia ada serta menjadi sebahagian daripada Laluan Utama Kedua Sarawak (STR).

Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Aidel Lariwoo, berkata kerja pembinaan yang masih berbaki ketika ini membabitkan pembinaan jalan di bahagian Sejingkat dan Tanjung Bako.

Datuk Aidel Lariwoo menjawab soalan media. | Foto: Ramidi Subari.

Selain itu, katanya, satu laluan baharu turut dibina di bahagian Sejingkat merangkumi persimpangan keluar dan masuk bagi mengurangkan kesesakan trafik.

“Dengan siapnya jambatan ini, jumlah kenderaan dari kawasan pedalaman dan pesisir yang menuju ke Kuching dijangka meningkat menggunakan laluan ini, iaitu Jambatan Sejingkat,” katanya ketika ditemui media semasa mengadakan lawatan ke tapak projek Jambatan Sejingkat, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut, Datuk Dr Hazland Abang Hipni.

Menurut Aidel, Jambatan Batang Sejingkat turut menjadi sebahagian daripada laluan utama yang menghubungkan Kuching ke arah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching baharu yang dirancang di Tanjung Embang.

Datuk Aidel Lariwoo (tengah) berbincang dengan Datuk Dr Hazland Abang Hipni ketika melawat tapak projek Jambatan Batang Sejingkat. | Foto: Ramidi Subari.

Katanya, Kerajaan Sarawak merancang menyambungkan jambatan dan jalan dari kawasan berkenaan, khususnya di Batu Belat, bagi menyokong pembangunan infrastruktur yang menghubungkan kawasan Tanjung Embang, Sri Jaya dan Sadong Jaya.

“Pembangunan infrastruktur yang akan menyokong pertumbuhan dan pembangunan lapangan terbang baharu serta pelabuhan laut dalam baharu di Tanjung Embang, Asajaya dan Sadong Jaya akan bermula di sinilah,” katanya.


Dalam pada itu, Aidel berkata projek Jambatan Batu Belat telah diluluskan di bawah Rolling Plan Kelima (RP5), Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), menerusi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Beliau berkata projek bernilai hampir RM300 juta itu melibatkan pembinaan jambatan serta jalan raya yang menghubungkan kawasan berkenaan ke Tanjung Embang.

Tambahnya, Kerajaan Sarawak turut merancang membina beberapa jajaran jalan tambahan yang menghubungkan Samarahan dan Kuching ke kawasan lapangan terbang baharu bergantung kepada reka bentuk serta pelan pembangunan lapangan terbang baharu dan pelabuhan laut dalam tersebut.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU